Pandu Uji

IMAGINASI PICASSO

Dalam menghasilkan sebuah MPV (kenderaan pelbagai kegunaan) tidak ramai pengeluar bermain dengan kreativiti rekaan. Boleh dilihat kebanyakan pengeluar menghasilkan MPV yang kelihatan normal dengan perkadaran seimbang.

citroen-c4-picasso-mekanika (3)

Namun, lain pula bagi model yang satu ini. Citroen tidak mengambil mudah tentang reka bentuk dalam membangunkan sebuah MPV. Bagi pengeluar Perancis itu,  sebuah MPV tidak semestinya perlu kelihatan klise. Tidak salah untuk tampil berbeza dan unik.

Sebagai jenama yang mempunyai sejarah dengan rekaan berani, tidak hairan jika Citroen menghasilkan MPV yang menonjol dalam segmennya. Ini adalah kereta yang pintar dengan reka bentuk moden dan mewah.

citroen-c4-picasso-mekanika (4)

Pada bahagian depan, gril chevron dan lampu LED nyalaan siang hari yang tirus memberikan imej futuristik kepada Citroen C4 Picasso ini. Penggunaan rel bumbung bermula dari tiang A melintasi sepanjang garisan bumbung dan ditamatkan seperti satu lekuk pada tingkap belakang cukup berbeza. Melengkapkan imej itu, Citroen menawarkan lampu belakang 3D yang elegan.

Malah, cermin hadapan yang cukup besar terbentang sehingga ke bumbung memberikan pandangan yang luas. Namun, ketika panas terik, ia sedikit menyilaukan mata. Tidak perlu gusar, pelindung matahari boleh ditolak ke hadapan bagi melindungi mata.

citroen-c4-picasso-mekanika (7)

Sebagai sebuah kereta keluarga, tentunya keselesaan  dan ruang yang luas menjadi keutamaan. Duduk di kerusi pemandu cukup selesa. Rekaan perehat kepala yang melengkung seperti kerusi pesawat memberikan satu posisi rehat yang selesa untuk perjalanan jauh.

Saya juga mudah mendapatkan posisi duduk yang baik. Rekaan tiang A yang landai tidak mengganggu pandangan ketika membelok dan cermin tingkap yang besar menawarkan pandangan luas. Ibarat kata seorang rakan, seperti berada di dalam sebuah akuarium.

citroen-c4-picasso-mekanika (8)

Rekaan unik bahagian luarnya diteruskan pada kabin. Sebaik memasuki kabin, mata akan terarah pada dua skrin berwarna bersaiz 12 inci dan skrin sentuh 7 inci. Pereka Citroen menyembunyikan informasi berkaitan teknologi, media dan kawalan keselamatan pada skrin 7-inci (pada konsol tengah) yang memerlukan masa untuk menerokanya.

Secara peribadi, kabin yang dipenuhi dengan teknologi kadang-kala memang merumitkan. Sebagai contoh, satu tugas mudah seperti melaras suhu pendingin hawa dengan hanya memusing butang kawalan tidak berlaku pada model ini.

citroen-c4-picasso-mekanika (6)

Saya perlu mencari ikon pendingin hawa pada sub menu di skrin sentuh. Tidak begitu praktikal kerana mengganggu fokus pemanduan.

Namun begitu, C4 Picasso tidak lokek dari segi ruang simpanan. Begitu banyak ruang yang disediakan pada papan pemuka, tepi pintu  dan di bawah lantai.

citroen-c4-picasso-mekanika (9)

Beralih kepada prestasi, C4 Picasso dijana enjin 2.0 liter e-HDI diesel yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 370Nm. Ia cukup sempurna sehinggakan tugas untuk membawa tujuh penumpang menjadi begitu mudah. Kuasa enjin yang dihantar ke roda depan adalah meyakinkan, responsif dan tidak  bising. Malah, memandu C4 Picasso di lebuh raya rasa cukup menyenangkan.

MPV bergerak lincah dalam kepadatan lalu lintas dan pantas di jalan yang bebas trafik.  Tendangan tork awal juga cukup untuk menakluki laluan berbukit.

citroen-c4-picasso-mekanika (2)

Transmisi enam kelajuan automatik memberikan hantaran kuasa yang lancar tanpa sentakan. Cuma kedudukan gear yang diletakkan di tepi stereng bukanlah satu kebiasaan. Saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Sering kali ingin menukar gear, tangan akan tercari-cari tuil gear di konsol tengah.

Diesel dan penjimatan bahan bakar adalah satu perkara yang cukup sinonim. Dengan tangki penuh, saya dapat melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur sehingga ke Melaka dan pulang semua dengan baki bahan api yang mampu pergi 100 kilometer.

citroen-c4-picasso-mekanika (5)

Cuma bunyi bising enjin tidak dapat dielakkan ketika melahu. Melalui jalan beralun, ia memberikan tingkat redaman yang cukup baik. Sistem gantungan pada bahagian belakang juga tidaklah begitu resah apabila melalui laluan selekoh sedikit laju atau melalui jalan berlubang.

Model Citroen ini memiliki kekuatan daripada segi ekonomi bahan api, keselamatan dan praktikaliti. Kualiti kabin dan gayaan adalah selangkah ke hadapan berbanding pesaingnya.

citroen-c4-picasso-mekanika

Spesifikasi

Enjin: 2.0L e-HDI

Kuasa Maksimum: [email protected],000rpm

Tork Maksimum: [email protected],000rpm

Transmisi: 6 kelajuan automatik

Harga: RM189,903.50

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button