
ISUZU D-MAX V-CROSS 3.0L
Ketika pengedar kenderaan jenama Isuzu di Malaysia, Isuzu Malaysia memperkenalkan trak pikap isuzu D-Max generasi kedua ke pasaran pada Mei tahun lalu , tiada kedengaran bahawa varian dengan enjin lebih besar akan diperkenalkan.
Menurut Isuzu Malaysia, enjin diesel 2.5 liter yang menjana D-Max serba baharu itu sudah memadai untuk kegunaan pengguna tempatan. Memang benar, enjin dengan sistem pengecas tubo itu sudah cukup berkuasa dan menjimatkan.
Malah, ia juga tidak memerlukan pemiliknya, terutama di Semenanjung Malaysia mengeluarkan lebih wang untuk membayar cukai jalan tahunan. Biarpun begitu, lain orang lain selera dan keperluannya.
Pengguna trak pikap di Sabah dan Sarawak (sedia maklum bahawa cukai jalan di sana adalah murah) mahukan jentera yang lebih berkuasa. Dalam kes ini, D-Max dengan enjin turbo bersesaran 3.0L baharu untuk memenuhi keperluan mereka.
Seorang kakitangan Isuzu Malaysia memberitahu, ramai juga pelanggan di Sabah dan Sarawak sanggup membayar wang pendahuluan untuk membeli D-Max 3.0L walaupun pengedar di sana sendiri tidak tahu bilakah varian itu akan dibawa masuk. Begitu sekali kepercayaan yang diberikan kepada trak pikap keluaran Isuzu ini.
Akur dengan jumlah pemintaan yang kian memberangsangkan, Isuzu Malaysia akhirnya menawarkan varian D-Max 3.0L yang dikenali sebagai V-Cross pada Jun lalu.
Bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan, V-Cross ditawarkan dalam tiga varian iaitu V-Cross 3.0L (MT 5 kelajuan), V-Cross 3.0L (AT 5 kelajuan) dan V-Cross 3.0L (AT) versi lebih mewah iaitu Edisi Safari.
Edisi Safari dibezakan menerusi bodykit dan beberapa aksesori khas yang dipasang padanya. Didatangkan dengan transmisi automatik sahaja, Safari dipasang dengan gril, bampar dan pemijak kaki berwarna kelabu. Rim aloi berwarna kelabu bersaiz 17 inci itu nyata menyerlahkan lagi penampilannya.
Anda tidak akan tersilap versi Safari dengan varian V-Cross biasa kerana pelekat besar ‘Safari’ ditampal pada bahagian sisi dan belakangnya. Ia juga dipasang dengan penutup ruang kargo belakang atau V-Lid sebagai satu ciri standard. Harus tahu bahawa V-Lid itu boleh dikunci. Jadi, anda boleh menyimpan barang dengan selamat.
Penambahbaikan varian Safari diteruskan ke dalam kabin. Pemilik Safari pasti berpuas hati dengan tempat duduk dibalut kulit, lengkap bersama sulaman perkataan V-Cross Safari berwarna putih dan oren.
Pada konsol tengah, terletak skrin bersaiz 6.2 inci dengan kemampuan multimedia, navigasi GPS dan menjadi paparan kamera mengundur. Untuk semua itu, anda perlu membayar wang tambahan sebanyak RM11,000 berbanding varian V-Cross biasa bertransmisi automatik.
Ini bukanlah kali pertama Isuzu Malaysia menawarkan D-Max dengan enjin bersesaran 3.0L. Cuma, enjin empat silinder dengan sistem pancitan bahan api commonrail, Variable Geometry System (VGS) serta pengecas turbo dan intercooler yang baru itu terasa lebih berkuasa dan refined.
Enjin itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 177PS dan tork 380Nm pada rpm bermula 1800 hingga 2,800rpm. Dengan jumlah kuasa tersebut, ditambah pula dengan teknologi VGS, tidak hairanlah jika V-Cross mampu memberi pecutan lebih lancar tanpa diganggu oleh masalah turbo lag.
Maka, pastinya pemanduan sebuah V-Cross amat mengujakan. Pengalaman itu dirasai ketika Mekanika Malaysia dijemput untuk memandu uji jentera tersebut ke Pulau Pinang baru-baru ini.
Gabungan laluan di lebuh raya dan jalan kampung sememangnya dapat membuktikan bahawa V-Cross sebuah trak pikap yang cukup seronok dipandu. Kuasanya dapat dirasai hampir serta-merta setiap kali pedal minyak ditekan sedikit agresif.
Apa yang membuatkan pemandu lebih yakin ketika memandu V-Cross ialah barisan sistem keselamatan aktif dan pasif yang ada padanya. Trak pikap ini dilengkapi sistem brek ABS dengan EBD, Brake Assist, Traction Control, Electronic Stability Control dan dua beg udara. Ia juga telah diberi penarafan lima bintang dalam ujian pelanggan ANCAP.
Berbeza dengan varian D-Max 2.5L yang dipasang tempatan di kilang Isuzu di Pekan, Pahang, model-model V-Cross sebaliknya diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Langkah itu dibuat kerana jumlah jualannya tidaklah terlalu banyak berbanding D-Max 2.5L.
Jika berminat, D-Max V-Cross ditawarkan pada harga RM101,343.90 (3.0L MT), RM107,459.90 (3.0L AT) dan RM118,485.90 (3.0L AT Safari). Harga itu di atas jalan termasuk insurans. Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 10,000km.
[hr]GALERI