
JAGUAR & BREMONT LANCAR JAM TANGAN
Jam tangan ini akan didedahkan sewaktu pengenalan model Jaguar Lightweight E-type di acara Pebble Beach Concours D’Elegance.
Jaguar semalam mengumumkan perkembangan hubungannya dengan Bremont Watch Company apabila mendedahkan satu daripada enam utas jam tangan buatan Bremont. Jam tangan unik itu akan ditawarkan kepada enam pelanggan model Lightweight E-types yang akan dibina oleh pihak Jaguar Heritage.
“Projek Lightweight E-type adalah sangat istimewa. Sebab itulah kami perlu menghasilkan sesuatu yang dapat menyempurnakan kereta tersebut. Memandangkan peminat tegar kereta klasik juga cenderung menjadi peminat jam, maka jam tangan mungkin jawapannya,” kata Pengarah Reka Bentuk Jaguar, Ian Callum.
Mendapat inspirasi secara langsung daripada kereta tersebut, jam tangan bersaiz 43mm itu menampilkan satu dial hitam yang berasaskan kepada tolok rpm dan satu zon berwarna merah. Jarum jam dan minit meniru jarum takometer kereta. Sementara nombor chasis kereta berkaitan dicetak pada posisi pukul 6.
Bahagian tengah bekas emas putih pula diperbuat daripada aluminium yang disimpan ketika penghasilan panel badan Lightweight E-type. Ia akan disadur untuk dipadankan dengan warna kereta.
Kolaborasi pertama Jaguar Bremont bermula pada tahun 2010 apabila Bremont membangunkan jam analog pada papan pemuka model hibrid Jaguar C-X75.
Pelancaran jam tangan Jaguar Lightweight E-Type yang eksklusif ini menandakan permulaan kerjasama jangka panjang di antara Jaguar dan Bremont.