Modifikasi

JARANG-JARANG BOLEH JUMPA – TOYOTA STARLET EP82

Kemunculan Starlet generasi baru bermula, selepas Toyota bertindak mengorbankan versi ‘kambing’ dari senarai kenderaan mereka. Generasi baru ini merujuk kepada siri EP70 / EP80 / EP90 yang menggunakan pacuan roda depan, berbanding pacuan belakang pada model sebelumnya. Bukan saja-saja nak tukar, tapi disebabkan trend semasa selain ingin mengurangkan kos binaan.

Percaturan tersebut tidak mengurangkan pengaruh Toyota termasuk di negara ini. Ditambah faktor ekonomi semasa, siri EP70 berjaya menguasai segmennya untuk tempoh yang agak lama.

Namun apabila tiba giliran EP80 mengambil tempat, jumlah jualannya mula berkurangan akibat penguasaan kenderaan tempatan yang jauh lebih murah. Jangan kata pintu dua macam ni, yang biasa pintu empat tu pun jarang-jarang dah boleh jumpa.

GT Turbo ini merupakan varian tertinggi dalam keluarga Starlet generasi keempat. Ia sebagai pilihan kepada mereka yang inginkan sebuah kereta kecil berprestasi, yang sememangnya popular ketika itu. Berbanding model Pulsar GTi-R dan Interplay GT-R yang dibina khas sebagai jentera homologasi rali, Starlet GT lebih berorientasikan pemanduan harian, tapi boleh terus dibawa ke trek jika mahu.

BACA: TOYOTA STARLET OTAI!

Khairul membeli Starlet GT ini kira-kira dua tahun yang lalu. Kurang pasti tentang sejarah silamnya, tapi diperolehi dalam kondisi standard dan memuaskan. Di tangan Khairul, kereta ini bukan saja ditatang bagai sirap yang penuh. Tapi turut dianjak ke tahap lebih baik menerusi kerja-kerja tingkat taraf yang bersesuaian.

Bagi masyarakat Starlet dan sub kompak lain, enjin 4E-FTE yang dibekal standard kepada model ini diakui mampu memberi tujahan kuasa yang diharapkan. Asal tak jumpa enjin yang sesuai, memang inilah yang akan dipilih. Dengan kuasa sekitar 130hp, ia diakui antara enjin paling berkuasa dan lasak dalam kelasnya ketika itu.

BACA: STARLET EP71 ORIGINAL 2 PINTU!

Seperti enjin popular lain, 4E-FTE juga pernah dibangunkan secara ekstensif oleh para tuner terkenal. Jadi pencarian komponen berprestasi yang sesuai menjadi lebih mudah.

Untuk kereta ini, proses tingkat taraf enjin ini melibatkan beberapa perubahan penting di bahagian dalaman. Antaranya, penggunaan set piston Ross 75mm, conrod dari Scat, serta set galas enjin King Bearing. Bahagian kepala silinder menerima kerja-kerja port & polish, sebelum disumbat sepasang camshaft billet 265°.

Tumpuan turut diberikan kepada sistem pendesak. Tersembul keluar pada manifold ekzos adalah turbo TD05 25G, yang diikat bersama wastegate Tial 38mm. Unit intercooler top mount asal telah dialih ke bawah, menggunakan intercooler dan paip sambungan kustom. Lebihan boost yang tidak diperlukan, seterusnya dilepas keluar menerusi injap pelepas Turbosmart.

BACA: STARLET 4 THROTTLE!

Penyampaian bahan api dibantu pam petrol AVS yang menghantar bekalan ke set injektor 510cc. Jumlah tekanan dan balikan dikawal menerusi unit regulator Works Engineering. Bagi menghapuskan masalah cut yang wujud di sana sini, unit ECU telah dihubungkan kepada piggyback GReddy e-Manage untuk memudahkan proses talaan.

Bahagian luar masih kekal menggunakan kit badan standard Starlet GT. Sunroof pun dah siap pasang. Yang Khairul tambah cuma unit spoiler lentik dari Tom’s, serta sepasang cermin sisi Ganador. Bersangkut dengan rupa luaran adalah rim Advan RG berukuran 15-inci, yang dipadankan dengan getah Hankook Ventus V12 dari saiz 195/50R-15. Sementara sektor pengendalian pulak, menerima set suspensi boleh laras dari TRD.

Belah dalam nampak standard seperti yang sepatutnya. Bersama papan pemuka tersebut, tersemat stereng Momo Corse separuh lusuh serta 2 bijik Defi di bahagian tengah. Memegang kemas Khairul ketika memandu adalah tempat duduk kepit dari Bride, manakala penumpang sebelah dialas Recaro SR3 yang lebih selesa.

Tidak dapat dipastikan berapakah jumlah sebenar Starlet GT berpintu dua yang pernah wujud di sini. Rasanya memang sikit sangat, memandangkan kelibatnya hampir tidak kelihatan, kecuali bila tiba musim mengawan. Itu pun setahun sekali….

-pak maun-

GALERI

 

Google ads
Back to top button