Motosikal

JENTERA MODEN KLASIK? 6 SEBAB KENAPA ANDA PERLU PERTIMBANGKAN TRIUMPH STREET TWIN

Sama ada kita sedar atau tidak, harga motosikal berkuasa tinggi di negara ini semakin kompetitif. Berbanding 10 atau 15 tahun lalu, motosikal yang pernah dianggap sebagai barang mewah ini, harganya sekarang sudah boleh dengar tanpa rasa sakit jantung.

Lebih memeningkan kepala, ada pula macam-macam segmen untuk dipilih. Naked, sporbike, café racer, touring, moden klasik, cruiser atau dual purpose. Jadi, mana satu yang nak beli?

triumph-street-twin-official-mekanika-11

Katakanlah anda sudah mengecilkan skop pembelian kepada model moden klasik. Jadi, saya senaraikan enam sebab kenapa anda harus mempertimbangkan tawaran terkini daripada jenama Triumph, Street Twin. Anda tidak akan menyesal.

  1. Kualiti binaan yang cukup kemas

Rangkaian Bonneville direka dan dibangunkan di UK. Tetapi, model seperti Street Twin dipasang di kilang Triumph di Thailand. Melihat secara dekat, sesiapa pun akan mengakui bahawa kualiti binaannya memang terbaik, sama ada kemasan cat atau titik paterinya.

Anda juga pasti sukakan sentuhan perincian yang lain seperti jahitan pada tempat duduk kulit berwarna hitam, logo krom pada penutup tangki minyak, kemasan krom ekzos, meter gabungan analog dan digital berbentuk bulat serta banyak lagi.

Gayaan retro pada motosikal ini juga cukup menyerlah. Tidak berlebih-lebih, Street Twin tampil elegan dengan rekaan lampu hadapan bulat, ekzos berkembar dan enjin yang terdedah.

triumph-street-twin-official-mekanika-8

  1. Enjin 900cc baharu

Street Twin dikuasakan oleh unit enjin parallel-twin baharu bersesaran 900cc. Enjin dengan sistem penyejukan cecair itu menawarkan kuasa 54bhp dan tork 80Nm @ 3,200rpm. Lebih daripada cukup untuk menggerakkan tubuhnya yang seberat 198kg itu. Kuasa tersebut kemudian disalurkan ke roda menerusi kota gear lima kelajuan.

Ini merupakan peningkatan lebih 22bhp berbanding enjin lama yang menggunakan sistem penyejukan udara. Tahap penjimatan bahan api juga agak memuaskan. Dengan setangki penuh (kira-kira RM17), penunggang boleh mencatat perjalanan lebih 300km tanpa sebarang masalah.

triumph-street-twin-official-mekanika-9

  1. Barisan teknologi terkini

Untuk sebuah motosikal moden, spesifikasi yang ada pada Street Twin memang menarik. Jentera itu dilengkapi teknologi Ride-by-Wire elektronik yang meningkatkan kawalan pendikit, responsif, lebih selamat dan seronok ditunggang.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan pula, jentera ini dipasang dengan sistem brek ABS, pelumpuh enjin serta Traction Control yang mengoptimumkan penghantaran kuasa tork (boleh diaktif dan dinyahaktifkan).

triumph-street-twin-official-mekanika-4

  1. Mudah dikendali

Tak guna kalau motosikal canggih dan cantik, tapi sukar untuk dikendalikan, terutama bagi penunggang novis atau kurang berpengalaman. Casisnya yang ‘agile’ dan ketinggian tempat duduk sederhana membolehkan urusan mengendalikan Street Twin lebih mudah. .

Posisi tunggangan yang menegak dan jarak hendal tidak terlalu lebar membuatkannya senang untuk dibawa di mana-mana sahaja, termasuklah dalam kesesakan jalan raya. Sistem Torque Assist Clutch membuatkan klac rasa lebih ringan. Sekali gus mengurangkan rasa penat selepas menunggang untuk beberapa ketika.

triumph-street-twin-official-mekanika-1

  1. Harga berpatutan

Memang betul, berpatutan atau tidak sangat bergantung kepada poket masing-masing. Tetapi jika anda memang mempunyai bajet bawah RM60,000 dan mahu tampil berbeza daripada yang lain, kenapa tidak jentera ini?

Street Twin boleh anda miliki pada harga asas RM55,900 seunit. Harga yang kompetitif itu dapat ditawarkan kerana ia dipasang di negara jiran, Thailand.

triumph-street-twin-official-mekanika-2

  1. Sangat mudah untuk diubah suai

Satu lagi kelebihan yang ada pada Street Twin ialah ia sangat customizable. Malah, anda ditawarkan dengan lebih 150 aksesori original Triumph. Ini termasuklah ekzos 2-1 Vance and Hines, fly screen, meter, tempat duduk, pemanas pemegang hendal dan macam-macam lagi.

Triumph juga menyediakan tiga kit sedia ada untuk mengubah Street Twin anda menjadi sebuah jentera scrambler, flat-track atau dengan gaya urban.

triumph-street-twin-official-mekanika-3

BACA: TRIUMPH BONNEVILLE BOBBER 2017!

BACA: 4 MODEL TRIUMPH BONNEVILLE DILANCARKAN

Pendek kata, Street Twin memiliki pakej lengkap sebagai sebuah motosikal berkuasa tinggi untuk anda menunggang secara santai pada hujung minggu atau digunakan sebagai kenderaan harian.

triumph-street-twin-official-mekanika-5

Untuk pasaran Malaysia, motosikal jenama Triumph diedar oleh pihak Fast Bike Sdn. Bhd yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor. Bilik pamerannya ada  mempamerkan model lengkap Triumph seperti rangkaian moden klasik Bonneville, jentera street – Street Triple, Speed Triple, sports (Daytona), touring (Tiger) dan banyak lagi.

Tidak terkecuali, aksesori serta pelbagai barangan termasuklah topi keledar, jaket, sarung tangan, kemeja-T, bag dan sebagainya.

Ada masa, pergi ke sana dan jangan lupa tunggang uji. Jangan salahkan saya jika anda tidak dapat tidur dan terbayang-bayangkan motosikal Triumph selepas itu. Saya tahu kerana saya ialah salah seorang daripada ‘mangsanya’.

Google ads
Back to top button