Artikel Pilihan

JENTERA RALI BARU UNTUK HIROSHI MASUOKA DARI MITSUBISHI RALLIART – MERCIK HABIS

Mitsubishi baru saja mengumumkan jentera rali terbaharu mereka hasil ciptaan Ralliart buat kali pertama selepas lebih satu dekad. Jentera rali baharu ini yang diasaskan daripada trak pikap Triton bakal berlumba dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally 2022 yang bakal diadakan pada tahun ini.

Perlumbaan yang diiktiraf FIA ini mungkin agak asing bagi negara lain selain Thailand sebagai tuan rumah. Maklumlah Thailand memang merupakan antara pasaran trak pikap terbesar di Asia, jadi tak mustahillah ia diadakan di sana.

Jangan bimbang walaupun ianya bukan sebuah Lancer Evo tapi rupa paras Triton ini tidaklah kelihatan seperti Triton pasar borong yang digunakan untuk membawa barangan basah. Berbaloilah juga dengan nama Ralliart yang sudah terkenal seantero dunia yang penuh pancaroba ini.

Mungkin ada yang tidak sedar yang jenama Ralliart ini sudah ‘dipencenkan’ sejak bulan Mac 2010 dahulu. Korang dok tampal pelekat syarikat yang dah tak ada sebenarnya. Dah la tu tampal pula dekat Almera, Kancil, Cherry dan basikal. Tapi jangan malu jangan segan sebab syarikat ini telah dihidupkan kembali tahun lepas dan nampaknya kali ini ia lebih fokus kepada aspek kosmetik luaran tanpa sebarang peningkatan dari segi prestasi. Aduh. Agak-agak tampal pelekat besar tu naik berapa hp?

Tapi ada juga khabar baiknya. Pasukan ataupun syarikat baharu ini telah memilih Hiroshi Masuoka sebagai peneraju utamanya. Masuoka merupakan bekas pemandu penguji yang terlibat menguji model-model Pajero untuk perlumbaan Paris-Dakar dari Pajero generasi pertama. Bukan itu sahaja, beliau turut berlumba dalam perlumbaan tersebut dan berjaya memenanginya selama dua tahun berturut-turut dari 2002 hingga 2003. Untuk rekod Abang Japar menang rali antarbangsa Mentakab 7 tahun berturut-turut dik.

Jadi kalau ada seorang manusia yang tahu cara-cara untuk memenangi perlumbaan off-road, Masuoka ialah pilihan yang tepat. Kalau kat Mentakab dah Abang Japar pilihan pertama. Jadi jangan terkejut kalau program rali ini akan semakin berkembang maju. Mintak-mintak tak adalah campurtangan ataupun sekatan dari mana-mana pegawai atasan yang cuma berminat dengan duit.

Kenapa Triton bang? Jangan bimbang sebab Evo dulu pun bukannya keluar-keluar terus menakluk dunia. Perintis awal kejayaan Mitsubishi ialah Galant dan Carisma sebelum kejayaan dan populariti mereka diganti oleh Lancer Evolution.

Buat masa kini Ralliart akan memastikan Triton ini akan menjadi jentera rali Mitsubishi yang sebenar seperti satu ketika dahulu. Nak harapkan Eclipse Cross dan Mirage menang perlumbaan mungkin masih terlalu awal. Pajero pula dan tak ada dan kilangnya pun dah jadi kilang tisu tandas. Jadi inilah pilihan yang terbaik untuk peminat rali sekelian.

Atau anda berminat untuk memiliki Triton Ralliart seperti dalam artikel ni. Jangan bimbang sebab ratusan kedai aksesori 4×4 Ah Beng akan bersedia untuk memuaskan hati anda selepas ini. Kami bagi masa 2 minggu je dijamin ada yang tiru design ni nanti.

Google ads
Back to top button