Buletin

JUMLAH SYARIKAT AP TERBUKA PERLU DIKAWAL – PEKEMA

Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) menyarankan agar kerajaan mengawal ketat jumlah syarikat yang diberi permit import (AP) terbuka bagi memastikan industri automotif negara kekal berdaya saing.

Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin mencadangkan agar cadangan untuk melantik lebih banyak syarikat AP terbuka dikaji semula sebelum dilaksanakan sepenuhnya.

“Pemilihan yang teliti perlu dilakukan untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang mampu menyumbang positif kepada industri automotif diberi peluang, dengan penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti.

“Keutamaan harus diberikan kepada syarikat yang benar-benar layak dari segi pengalaman dan modal.

“Pekema bimbang sekiranya syarikat yang dilantik tiada pengalaman, ini boleh mengakibatkan mereka mengalami kerugian kerana kereta import terpakai ada susut nilai yang ketara,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) semalam mengumumkan pelaksanaan Dasar AP Terbuka yang lebih telus dan inklusif berkuatkuasa 1 Julai 2024, yang membolehkan mana-mana syarikat Bumiputera, termasuk yang tidak pernah terlibat dalam aktiviti automotif memohon menjadi syarikat AP Terbuka.

Empat syarat utama dikenakan ialah syarikat berkenaan berstatus Sendirian Berhad; pemilikan 100 peratus Bumiputera; mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta; dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button