Motosikal

KAWASAKI Z900RS RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA – BERMULA RM67,900  

Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) hari ini secara rasminya melancarkan model café racer yang ditunggu-tunggu, Kawasaki Z900RS.

Jentera tersebut didatangkan dalam dua varian iaitu standard dan edisi khas.

Harganya ialah RM67,900 untuk versi standard dan RM69,900 (edisi khas). Berbeza hanya RM2,000 ia hanya melibatkan perbezaan warna dan kemasan ekzos lebih berkilat.

Sebelum ini, Z900RS pernah dipamerkan di acara Tokyo Motor Show 2017 dan EICMA 2017. Di rantau Asia Tenggara, Indonesia menjadi negara terawal yang menawarkan jentera tersebut.

BACA: KAWASAKI INDONESIA LANCAR Z900 RS DENGAN HARGA MENINGGAL DUNIA – RM85K

Sedia maklum bahawa Kawasaki Z900RS ialah model yang diinspirasikan daripada model Kawasaki Z1 sekitar tahun 1977. Kawasaki Z1 ketika itu memiliki persamaan dengan Kawasaki 900S4, KZ900, Z1000 atau KZ1000.

Jentera ini menggunakan enjin yang sama dengan Ninja Z900RS iaitu enjin empat silinder sebaris bersesaran 948cc. Ia mampu menjana kuasa mencecah 111hp (kurang sedikit berbanding 125hp pada Z900) dan tork 98.5Nm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Gear pertamanya ditala lebih pendek untuk menawarkan tunggangan mengujakan.

Biarpun tampil dengan gayaan retro, ahli keluarga terbaharu Z itu dilengkapi pelbagai teknologi moden.

Ia turut didatangkan dengan ciri tersendiri iaitu bunyi ekzos yang baru untuk membolehkan penunggang benar-benar menikmati enjin empet silinder sebaris tersebut.

Untuk mendapatkan berat yang diingini dan karekter pengendalian terbaik, Z900RS dibina menggunakan kerangka besi trellis bertegangan tinggi serba baharu.

Kerangka itu juga hadir dengan reka bentuk minimalis bagi mengelak penambahan berat yang tidak perlu. Pada masa yang sama menyerlahkan gayaan retronya.

Keselesaan tunggangan disumbang oleh fork hadapan terbalik 41mm dan reka bentuk dan suspensi Horizontal Back-Link pada roda belakang. Fork itu boleh dilaras sepenuhnya dari segi preload dan redaman.

Selain sistem Kawasaki Traction Control (KTRC), aspek keselamatan Z900RS dipertingkatkan menerusi brek ABS pada kedua-dua roda.  

Bagi anda yang ingin tampil berbeza, Kawasaki ada menyediakan rangkaian aksesori tulen untuk jentera ini. Aksesori tersebut terdiri daripada set slider kerangka, kemasan radiator, pad tangki, tempat duduk Ergo-fit, pelindung angin, peredam slip on Akrapovic dan banyak lagi.

BACA: EICMA 2017: KAWASAKI Z900 RS CAFÉ – MODEL GAYAAN RETRO PENH KUASA

GALERI

Google ads
Back to top button