Motosikal

KAWASAKI ZX750 TURBO – TEKNOLOGI 80-AN YANG MENDAHULUI ZAMAN

Pengecas turbo yang dipasang pada Kawasaki ZX750 Turbo mungkin mempunyai ukuran yang cukup kecil jika dibandingkan dengan alay yang sama dilengkapkan pada sebuah kereta hatta sebuah Kancil L2 sekalipun. Tapi keseronokkan yang ditawarkannya mungkin lebih sepuluh kali ganda berbanding kuasa pecutan sebuah Perodua Kancil turbo convert anda.

Tiga dekad sebelum ini motosikal keluaran Jepun telah mula menggunakan enjin berkuasa turbo. Antaranya ialah Yamaha XJ650 Seca Turbo, Suzuki XN85 Turbo, Kawasaki ZX750 Turbo dan Honda CX650 Turbo. Jika dibandingkan dengan superbike moden memang tak ada apa yang istimewa dari segi prestasi.

Tapi kena ingat, motosikal berkuasa turbo diataslah yang membuktikan setiap motosikal akan menjadi lebih bertenaga dan efisien dengan penggunaan pengecas turbo. Malah ia juga memberikan karektor yang tersendiri buat sesebuah motosikal itu.

Walaupun masalah ‘turbo lag’ tetap wujud tetapi keseronokkan yang dihasilkan memang berbeza berbanding sebelumnya. Kalah air ketum beb. Contohnya Kawasaki ZX750 Turbo ni.

Jika dilihat dari sudut sejarah, Kawasaki agak ketinggalan berbanding pengeluar lain dalam menghasilkan produk motosikal berkuasa turbo. Hanya pada tahun 1983 barulah ZX750 Turbo ini meluncur keluar dari kilang Kawasaki. Tertinggal dua tahun berbanding pengeluar lain. Tapi biasalah hero memang keluar last.

Di sebalik rekaannya yang aneh, terlindung di sebalik fairingnya merupakan sebuah pengecas turbo Hitachi dengan teknologi yang mendahului zaman ketika itu. Kawasaki menempatkan pengecas turbo tersebut dibahagian hadapan di sebelah paip ekzos. Berbeza dengan pengeluar lain yang menempatkannya di bahagian belakang enjin.

Bukan itu sahaja, Kawasaki ZX Turbo ini juga turut menggunakan sistem pancitan bahan api elektronik (DFI) dan sistem komputer yang mengatur bukaan pendikit, tekanan udara, suhu enjin dan tekanan gas ekzos untuk memutarkan pengecas turbo Hitachi tersebut. Ianya jauh lebih canggih berbanding pesaing lain yang masih menggunakan karburator dan cara aplikasi turbo secara tradisi.

BACA: KAWASAKI PERKENALKAN NINJA H2 DAN H2R 2018 – PRE ORDER SAJA TAU

Canggihnya sistem ZX750 Turbo itu dibuktikan dengan penggunaan sistem yang sama untuk motosikal lain pada era 90-an. Dengan kata lain ZX750 Turbo ini adalah satu dekad lebih maju walaupun dikeluarkan lewat 2 tahun berbanding saingannya. Semuanya dilakukan demi mengurangkan masalah ‘turbo lag’ yang menghantui motosikal berkuasa turbo lain.

Teknologi yang diaplikasi Kawasaki berjaya menghasilkan 112 hp kuasa dan 99.1 Nm tork pada tekanan boost 10.5 Psi. Kuasa turbonya akan mula meledak sebaik jarum RPM mencecah 5,000 dan menyentuh garisan merah pada 10,000 RPM.

Masih musykil dengan kuasa ZX750 Turbo ini? Saksikan video Young Machine yang menunjukkan mereka menguji kuasa turbo Kawasaki ZX750 Turbo ini di Japanese Automobile Research Insititute (JARI). Ia merupakan lokasi khusus untuk menguji kenderaan baru di Jepun.

Dengarkan bunyi jeritan motosikal ini saat pengujinya menguji dalam pelbagai bacaan RPM. Sewaktu dalam keadaan putaran rendah, bunyinya sama seperti Superbike 750cc lain pada zamannya tetapi ianya akan berubah bila turbin pengecas turbo mula berpusing.

Mengikut spesifikasi pengeluar, motosikal ini berupaya mencatat kelajuan maksima 235 km/j. Cukup laju untuk motosikal keluaran tahun 80-an. Macam mana bunyinya kalau ditambah blow-off valve ya?

Google ads
Back to top button