Buletin

KAWASAN HIJAU COVID-19 AKAN DILINDUNGI

Kawasan bebas tanpa sebarang kes Covid-19 akan dipantau dan dilindungi daripada diceroboh pembawa virus itu menggunakan konsep yang digunakan China.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam telesidang bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, beberapa langkah memutuskan rantaian Covid-19 telah dibincangkan.

Jelasnya, China berjaya melindungi Beijing daripada dicemari Covid, sementara Wuhan dan Hubei pula dilaksanakan perintah berkurung sepenuhnya selepas kes positif dan kematian tinggi direkodkan di kedua-dua wilayah itu.

“Kita akan gunakan konsep berkesan yang diguna pakai China berjaya melindungi penduduk dan ibu kota Beijing yang merupakan zon hijau supaya tidak diceroboh jangkitan Covid.

“Di sini, kita akan memastikan tiada kemasukan kumpulan berisiko tinggi membawa virus Covid-19 masuk keluar ke dalam mana-mana kampung serta daerah yang bebas virus itu setakat ini.

“Di zon hijau terutama warga emas diberi fokus kerana golongan ini kebiasaanya memiliki penyakit tidak berjangkit dan mereka berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan Covid jika tak dilindungi sekarang,” katanya.

Ditanya sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang dilaksanakan di dua kawasan kampung di Simpang Renggam akan diperluaskan ke kawasan berisiko tinggi, katanya, KKM sedang memantau rapi kawasan-kawasan panas yang lain.

“Sekiranya ada kes di kawasan panas berisiko tinggi itu, maka kita akan bertindak. Kini dua kampung yang disekat dengan PKPD itu sedang menjalani penyahkuman nanti.

“Pasukan kesihatan kami akan buat ujian untuk mengesan kes dari rumah ke rumah sama ada sebarang kes demam simptom ada dalam kalangan penduduk kampung, termasuk kawasan zon merah dan juga zon hijau selepas ini,” ujarnya.

Noor Hisham turut ditanya mengenai penyelidikan dan ramalan JP Morgan dari Amerika Syarikat yang menjangkakan 6,300 kes positif di Malaysia menjelang pertengahan April ini. Manakala Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia meramalkan 8,900 kes positif Covid di negara ini.

Mengulas ramalan kedua-dua firma berpengaruh itu, Noor Hisham berkata, tanggungjawab berat terletak di bahu KKM dan rakyat negara ini untuk menidakkan ramalan itu.

Sekiranya semua pihak bekerja sebagai satu pasukan dan memainkan peranan masing-masing untuk memutuskan rantaian Covid sepenuhnya, ia boleh menafikan ramalan tersebut.

“Ia bukan terletak di bahu KKM sahaja, pastikan semua pihak termasuk rakyat berganding bahu dan memerangi Covid bersama.

“Masa akan menjawab (ramalan mereka tepat atau tidak), kami akan cuba sedaya upaya turunkan kes untuk berjaya melumpuhkan Covid, sekali gus membuktikan ramalan itu tidak tepat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button