
DC2 DILIP CHHABRIA – SUV ANEH 2 PINTU DARI INDIA
Ini bukannya model SUV dari komik Dragon Ball dan bukan juga kenderaan untuk menghadapi serangan zombie. Ia sebenarnya hasil ciptaan sebuah syarikat kecil dari India dan diberi nama DC2 Dilip Chhabria.

Menariknya SUV ini sebenarnya dihasilkan daripada sebuah SUV kacak yang kita kenali dengan nama Volvo XC90. Syarikat ini telah mengubahsuainya dengan menukar keseluruhan panel badan dan tuhan sajalah tahu berapa peratus komponen asal XC90 yang tinggal. Kami rasa XC90 asal jauh lagi cantik dan lagi bergaya tapi selera korang kami tak tahu la.
Bahagian hadapan memang tak ada bau XC90 langsung dan digantikan dengan gril besar gedabak dengan jeriji berbentuk heksagon dengan kemasan merah terang. Lampu-lampunya juga dimuatkan dengan cukup kemasan di dalam jeriji heksagon tersebut dan memberikan emosi yang….sukar dijelaskan.


Rekaan asal empat pintu XC90 digantikan dengan versi dua pintu dan kini ia mempunyai sepasang pintu bukaan gullwing ala supercar. Sebenarnya tiada siapa pun perlukan pintu gullwing pada sebuah SUV tapi lantak depa lah. Penggunaan rim aftermarket dengan tayar off road menjadikan SUV ini kelihatan gagah dan serius.
Kalau bahagian depan tadi korang dah rasa pelik, belakangnya boleh dikatakan super pelik. Lampu LED tipis memanjang tu kami faham memang dah jadi trens sekarang tapi apahal sampai ada gril besar yang menyamai gril hadapan di belakang.
Bahagian dalaman turut diubahsuai tapi masih kelihatan setanding dengan dalaman asal XC90. Kali ini ia lebih menyerlah dengan tempat duduk kulit berwarna merah terang. Tempat duduk baris kedua nampak lebih sempit berbanding XC90 asal dan disebabkan ketiadaan tingkap belakang, ia sebenarnya agak gelap daa.

Adakah ia akan dipasarkan? Itu kami pun belum pasti tapi kalau ia benar-benar diproduksikan adakah korang ingin memilikinya?






