Buletin

KIA MALAYSIA KOMITED UNTUK TAWAR PENGALAMAN PEMILIKAN YANG LEBIH BAIK

Seperti yang kita sudah sedia maklum, jenama Kia kini berada di bawah Bermaz Auto. Ia pasti membuatkan pemilik kenderaan Kia menarik nafas lega kerana Bermaz Auto berjanji untuk memastikan pengalaman pemilikan adalah lebih baik berbanding sebelumnya.

Syarikat gabungan yang dikenali sebagai Kia Malaysia Sdn. Bhd. (KMSB) menyaksikan Kia Motors Corporation memiliki lebih 60 peratus pegangan kepentingan di dalamnya.  

“Memenuhi ekspektasi pelanggan penting kerana ia akan menentukan masa depan jenama ini. Justeru, kami akan memastikan aspek sumber manusia dan kemudahan dapat membuatkan pelanggan lebih gembira dengan Kia,” kata Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, Datuk Seri Ben Yeoh.

Beliau mengakui antara isu yang perlu ditangani sekarang adalah melibatkan tuntutan jaminan dan alat ganti.  

Ditanya sama ada program Kia Value 5 akan diteruskan, Ben menyatakan pihaknya sedang meneliti apakah struktur jaminan yang dijanjikan oleh pengedar terdahulu.  

Namun, harus faham bahawa KMSB mungkin tidak dapat menunaikan segala janji yang telah dibuat oleh pengendali jenama Kia sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, KMSB juga akan memperkukuhkan lagi jaringan pengedar sedia ada dalam usaha untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih baik.

Buat masa sekarang, Kia Malaysia mempunyai kira-kira 35 buah pusat pengedar yang bertauliah di seluruh negara.

Google ads
Back to top button