Modifikasi

KIA SPECTRA FOUR THROTTLE

Rasanya kalau orang tanya tentang kereta pilihan untuk dijadikan projek modifikasi, rasanya nama “Kia” pasti tak masuk dalam senarai. Kereta Kia sering digambarkan sebagai kereta yang membosankan, tak sesuai langsung dijadikan bahan modifikasi oleh sebab reka bentuknya yang tak sporty. Malah nama Kia itu sendiri tidak mempunyai aura untuk sebuah kereta berprestasi tinggi. 

_MG_8887

Oleh sebab itulah harga kereta Kia terpakai boleh dikatakan cukup murah. Tidak ramai orang yang mahu membelanjakan wang mereka untuk membeli kereta ini, walaupun harganya dah macam timbang kati.

Tetapi, dah nama pun orang Malaysia – yang mempunyai falsafah semua jenis kereta boleh diubah suai kalau nak, tiba-tiba pula muncul segelintir peminat kereta yang menjadikan Kia sebagai platform modifikasi mereka.

15

Mungkin tak ramai yang tahu bahawa model Kia Sephia dan Spectra diasaskan dengan chasis Mazda Familia. Lebih kurang sama macam Proton Wira menggunakan chasis  Lancer untuk model kereta mereka. Jadi, dalam pemerhatian saya, makin banyak Kia Sephia atau Spectra yang mula menggunakan enjin Mazda B8 bagi menggantikan enjin asalnya.

Namun, lain pula halnya dengan Kia Spectra ini. Dalam orang lain sibuk menggunakan enjin Mazda ke Kia mereka, pemilik Kia ini pula sibuk memasukkan enjin Toyota ke Kia miliknya. Agaknya, pemiliknya kedekut nak bayar cukai jalan mahal-mahal dan termakan dengan mitos kelasakan enjin Toyota yang katanya cukup susah nak rosak walaupun dibelasah hebat.

3

Proses memasukkan enjin 4AGE four throttle ni memerlukan kerja custom pada bahagian cagak enjin yang lebih mesra Mazda daripada Toyota. Setelah selesai dengan bahagian cagak enjin, pemiliknya kena pulak menempah satu set aci picu (drive shaft – bukan Pikachu Pokemon tu) untuk disambung kepada kotak gear barunya. Dalam erti kata lain, kerja nak masukkan enjin ni bukan mudah, tetapi dari apa yang kami lihat dari mata kasar, kerja pemasangan enjin ni boleh dikategorikan sebagai kelas A – memang terbaik!

Enjin four throttle ini tak banyak diusik dari segi modifikasi yang lain. Cuma penapis udara asalnya digantikan dengan penapis udara pod terbuka K&N kerana kotak penuras udara asal enjin tersebut tak boleh dimuatkan di ruang enjin Kia ini. Sistem penyampaian bahan api pula dinaik taraf dengan pemasangan sebuah penyelaras bahan api Mine’s bersama pam bahan api berkuasa tinggi Walbro.

_MG_8898

Kesemua hos getah di dalam enjin diganti dengan hos silikon Samco. Manakala radiator asal enjin tersebut diganti dengan radiator aluminum berteras tebal daripada 5Zigen. Menariknya, sistem ekzos Kia ini masih menggunakan sistem ekzos standard dari kilang yang menyesakkan sedikit prestasi enjin barunya. Mungkin pemilik tak suka bunyi ekzos yang bising.

Tak kisahlah dengan pilihan pemiliknya, janji dia gembira. Dia juga gembira dengan sistem gantungan asal keretanya sebab tak usik langsung penyerap hentak asal kereta ni. Satu-satunya naik taraf yang dibuat adalah pemasangan sebuah strut bar Hot Bits di bahagian depan kereta. Brek kereta pun standard lagi, tak kisah sebab model ini guna  empat brek cakera.

16

Bahagian yang dinaik taraf hanyalah rim apabila ia diganti dengan rim aloi buatan Taiwan dan tayar lebih lebar. Dari segi kosmetik, Kia Spectra berwarna hitam ini dilengkapi kit badan Novus lengkap, salah satu pakej yang boleh dibeli dengan kereta ini semasa baru. Jadi, walaupun kereta tak direndahkan, ia masih nampak cantik dan agak sporty.

2

Bahagian dalaman tak banyak benda yang diusik. Hatta papan pemukanya pun masih guna yang asal. Cuma dengan sedikit kreativiti, pemiliknya berjaya mengubahsuai  konsol tengahnya untuk menerima tuil gear manual. Stereng asal yang mempunyai sistem beg udara pula diganti dengan stereng Momo jenis deep dish.

11

Sebenarnya, ubah suai ke atas Kia ini amat ringkas, tetapi memerlukan kemahiran yang tinggi untuk mendapat hasil sebegini. Bukan senang hendak masukkan enjin daripada pengeluar lain ke kereta yang langsung tak bermimpi untuk menggunakan enjin tersebut. Tetapi dengan semangat Malaysia Boleh, projek Kia ini dapat disudahkan dengan hasil yang cukup mengagumkan!

[hr]Spesifikasi

Pembuat / Model: Kia Spectra Novus

Enjin asal: GA6D 1600cc DOHC 16 injap

Ubah suai enjin: 4AGE 1600cc DOHC four throttle, penapis udara K&N, fuel regulator Mine’s, hos silikon Samco, pam bahan api Walbro

Kotak gear: Lima kelajuan manual Toyota

Sistem ekzos: Manifold 4AGE, paip ekzos standard Kia

Sistem gantungan: Standard Kia, strut bar depan Hot Bits

Sistem brek: Standard Kia

Rim / Tayar: Rim aloi Taiwan

Luaran: Bodykit Novus

Dalaman: Stereng Momo

[hr]Galeri

458101314

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button