
LAMPU HD MATRIX LED PORSCHE BAHARU MAMPU SULUH SEJAUH 600 METER – LEBIH SETENGAH KILOMETER TU
Porsche baharu sahaja mendeahkan teknologi lampu utama yang inovatif khusus untuk model-model 2023 mereka.

Ia dinamakan teknologi HD matrix LED dan berfungsi untuk suluhan tinggi dan rendah. Jika teknologi sebelum ini cuma menggunakan satu suluhan tinggi matrix pada bahagian tengah lampu, rekaan terbaru ini menempatkan dua unit matrix HD di bahagian bawah lampu. Kalau tak faham boleh rujuk gambar.
Kesemua empat unit mempunyai 16,384 LED ataupun piksel berbanding unit tunggal LED sekarang yang cuma menggunakan 84 piksel untuk setiap lampu. Sistem terbaru ini dibangunkan bersama dengan Hella/Forvia, Infineon dan Nichia. Nasib baik tak ajak Wakanda join sekali. Lampu ini akan beroperasi dengan keterangan antara 160lx atau 300lx ketika fungsi lampu tinggi diaktifkan.

Berbeza dengan LED yang digunakan pada model-model Porsche sekarang, teknologi mikro LED yang digunakan ini adalag sangat halus dan setiap satunya menyamai saiz selembar rambut manusia. Patutlah boleh guna sampai 16,384 unit. Kalau sama macam saiz LED biasa memang gedabak la saiz lampu.
Habis tu kereta dari depan macam mana? Adakah akan silau sampai masuk ke dalam parit? Itu kalau guna mentol HID murahan dari kedai Ah Beng. Porsche melengkapkan kamera pada cermin hadapan yang akan mengesan kenderaan dari hadapan dan suluhan lampu akan disesuaikan agar tidak menyilaukan pemandu lain.
Pencahayaan 300lx akan membolehkan lampu ini dipancarkan sehingga jarak 600 meter menurut pengurus sumber Porsche tapi itu bukan keutamaan mereka. Paling penting ialah sebaran cahaya secara sekata untuk suluhan yang lebih baik.
Ia berjaya dicapai dengan empat sumber cahaya. Pencahayaan pada bahagian tengah dan sisi boleh sentiasa diubah mengikut kesesuaian. Kalau suluh depan sahaja tapi sisi gelap gelemat nak buat apa.
Selain daripada itu lampu baharu ini juga mengurangkan silau pantulan papan tanda jalan. Banyak fungsi lampu ni selain dari suluhan rendah dan tinggi antaranya ialah suluhan tinggi bebas silau, suluhan tinggi adaptif lebuh raya, zon keselamatan dinamik dan suluhan anti silau papan tanda trafik.