Motosikal

LANGGAR WATER BARRIER, PENUNGGANG MOTOSIKAL NYARIS DILANGGAR LORI

Satu klip video yang menunjukkan seorang penunggang motosikal terjatuh kerana melanggar sebuah penghadang air atau ‘water barrier’ yang berada di tengah jalan tular di media sosial.

Melalui rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi di laman Facebook Sukan Star, pemandu kereta tersebut pada mulanya gagal mengelak sebuah penghadang air yang kosong dipercayai teralih ke tengah jalan.

Akibat daripada pelanggaran itu, penghadang air tersebut tercampak ke kiri jalan raya itu sebelum dirempuh oleh sebuah lori dan motosikal.

Apa yang mencemaskan ialah penunggang terbabit gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh dan nyaris digilis oleh lori berkenaan. Bagaimanapun, penunggang itu dilihat sempat bangun dan menyelamatkan dirinya.

Kejadian itu difahamkan berlaku di Jalan Kempas Utama, Johor Bahru.

Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial berang dengan tindakan kontraktor yang tidak mengisi penghadang jalan itu dengan air supaya ia tidak mudah teralih dari kedudukannya.

“Dah namanya water barrier kena la isi air, kalau kosong kena tiup angin beralih ke tengah jalan la. Ini la namanya kontraktor masuk air,” komen Kandar.

“Main letak kosong macam itu je. Saman kontraktor yang buat tak ikut peraturan,” ujar Fadzli pula.

“Kontraktor patut kena ambil tindakan, sepatutnya kon tu kena letak air supaya tidak terbang dek angin atau jatuh. Ini melibatkan nyawa pengguna jalan raya,” kata Shah. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button