
LEXUS BANGUNKAN TRANSMISI MANUAL UNTUK EV. LENGKAP DENGAN BUNYI ENJIN DAN PENUKARAN GEAR
Lexus mengesahkan mereka sedang membangunkan kotak gear manual simulasi untuk EV masa hadapan. Teknologi ini membolehkan transmisi manual tradisional diletakkan ke dalam kereta elektrik sepenuhnya.
Menurut Ketua Jurutera di Lexus Electrified, Takashi Watanabe, idea EV manual bermula daripada perbincangan di antara jurutera Lexus tentang perkara yang mereka sukai dalam kenderaan berenjin pembakaran tradisional.
Watanabe menyatakan bahawa projek itu ‘sangat menyeronokkan’ sehingga pembangunannya berterusan selama tiga tahun. Tambahnya lagi, teknologi itu bukan untuk tujuan pameran kerana ketua jurutera membayangkan ia akan dipasang pada beberapa model EV masa depan Lexus.

Pembuat kereta Jepun itu menggunakan kotak gear manual simulasi pada prototaip EV Lexus UX300e. Rakaman pemanduan disiarkan semasa pembentangan rasmi, menunjukkan apa yang diharapkan termasuk bunyi klik pada setiap pertukaran gear, bersama bunyi enjin palsu.
Prototaip EV didatangkan dengan tiga pedal, tombol anjakan berfungsi dan rev counter yang jelas tidak ada kaitan dengan pusingan motor elektrik. Lexus menyediakan transmisi simulasi supaya pemandu perlu menggunakan klac setiap kali menukar gear. Selain itu, bunyi simulasi enjin pembakaran dimainkan pada pembesar suara, menjadikan penukaran gear lebih intuitif untuk pemandu.
Watanabe berkata satu-satunya elemen yang tidak dihasilkan semula oleh jurutera ialah bau petrol.
Ini bukan kali pertama transmisi manual digabungkan dengan rangkaian kuasa elektrik. Ini kerana Lexus telah melihat konsep seperti Opel Manta GSE Elektromod serta banyak lagi model klasik yang ditukar menjadi EV.
Lexus memberitahu matlamat teknologi elektrifikasi baharu bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan emoso, tetapi bagi memberikan tahap prestasi, dinamik serta penglibatan pemandu yang lebih tinggi.
Teknologi lain yang sedang diusahakan oleh Lexus termasuklah One Motion Grip steer-by-wire dan sistem Direct4 yang muncul dalam Lexus RZ 450e baharu. Sistem steer-by-wire menghapuskan sambungan mekanikal di antara stereng dan roda, meningkatkan ketangkasan, kestabilan serta pengendalian.
Bagi sistem Direct4 pula, ia membawa kebolehan vektor tork aktif termaju kepada keempat-empat roda untuk pengendalian optimum.
Ketua Pegawai Eksekutif Lexus, Koji Sato sebelum ini menyifatkan model halo itu sebagai ‘pameran untuk masa depan dinamik pemanduan Lexus’ sambil membayangkan kemungkinan ia menggunakan simulasi kotak gear manual.
Pengganti kepada supercar LFA itu akan dibina berasaskan casis GT3 gred sukan permotoran. Ia menampilkan suspensi yang agresif, teknologi bateri termaju, motor elektrik berkuasa dan pecutan 0-100km/j dalam masa hanya dua saat. Walau bagaimanapun, pembuat kereta itu tidak menyatakan tarikh debut untuk supercar itu.









