Buletin

LEXUS NX 2022 KINI TIBA DI MALAYSIA. 2 VARIAN, BERMULA RM371K

Lexus Malaysia mengumumkan SUV kompak Lexus NX sudah tiba di pasaran tempatan.

Jentera berkenaan hadir dalam dua varian iaitu NX Luxury dan NX F-SPORT. NX Luxury boleh anda miliki pada harga bermula RM370,888 manakala NX F-SPORT pula berharga RM389,888 (harga tidak termasuk insura, dan pengecualian cukai SST yang bakal berakhir pada 30 Jun depan).

Lexus NX 2022 tampil dengan elemen rekaan Lexus generasi seterusnya. Bukan itu sahaja, 95 peratus komponen pada model itu telah diperbaharui.

Pasukan jurutera Lexus mengekalkan originaliti bentuk NX dengan penggunaan mesh spindle grill baharu bercorak criss-cross yang besar bersama sepasang lampu utama jenis 3-eye LED projektor dan DRL nipis berbentuk L.

Imej sporty dipertingkatkan lagi menerusi kemasan perak satin pada bahagian splitter yang kontras dengan gril berwarna hitam.

Melihat dari arah sisi, NX F-SPORT hadir dengan profail badan yang kemas dan arca roda warna badan. Bahagian belakang pula hadir dengan rekaan lampu baharu berbentuk L dan bar lampu LED yang kelihatan lebih elegan.

NX Luxury menggunakan enjin 2.5 liter aspirasi biasa berkuasa 204hp pada 6,600rpm dan tork 243Nm pada 4,000 hingga 5,000rpm.

NX F-Sport pula dipasang dengan enjin2.4 liter turbo yang mampu menjana 275hp pada 6,000rpm dan tork setinggi 430Nm bermula 1,700rpm hingga 3,600rpm.

Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik 8 kelajuan baharu dengan kawalan AI. Ia menggunakan kamera untuk mengimbas jalan di hadapan dan memadankan corak penukaran gear mengikut kesesuaian. 

Kuasa enjin disalurkan ke roda hadapan untuk kecekapan maksimum. Manakala sistem AWD sepenuh masa yang dikawal secara elektronik berfungsi mengagihkan kuasa di antara roda hadapan dan belakang bergantung kepada kondisi pemanduan.

Sistem itu juga mengurangkan masalah understeer atau oversteer, selain menawarkan prestasi mengambil selekoh dengan lebih tepat.

Prestasi NX banyak disumbang oleh platform Lexus Global Architecture K (GA-K) yang 30 peratus lebih tegar berbanding generasi sebelum ini. Sekali gus meningkatkan kawalan ketika membelok dan memberikan pengendalian lebih dinamik.

Dari segi keselamatan, Lexus NX dilengkapi Lexus Safety System Plus (LSS+). Ia  merangkumi Pre-Collision System (PCS) yang mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Lane Tracing Assist (LTA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dengan fungsi Stop & Go serta Adaptive High-beam System (AHS)

Tidak ketinggalan, Road Sign Assist (RSA) yang mampu membaca had kelajuan, Panoramic View Monitor (PVM) dan Parking Brake Support (PKSB).

Lexus NX F-SPORT turut menetapkan standard baharu dari segi reka bentuk, rangkaian kuasa, keselamatan dan kemudahan.

Ia menggunakan falsafah di antara penunggang dengan kuda yang dikenali sebagai Tazuna. Ini bermakna pergerakan pemandu seakan-akan difahami oleh kereta secara intuitif. Hal ini dapat dilihat pada susunan semula pelbagai fungsi di dalam kabin.

Contoh paling ketara ialah pengurangan jumlah butang daripada 78 kepada 45. Butang fizikal hanya untuk fungsi yang sering digunakan sahaja pada stereng.

SUV kompak itu juga dilengkapi skrin sentuh bersaiz 14 inci, paling besar dalam kelasnya yang menawarkan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay tanpa wayar.

Kemewahan ruang kabin Lexus NX ditingkatkan lagi dengan penggunaan material berkualiti tinggi, pertukangan Takumi dan hospitaliti Omotenashi. Lampu ambien dengan pilihan 64 warna dipasang pada bahagian panel pintu, konsol tengah dan kaki.

Satu ciri baharu yang diperkenalkan ialah selak pintu yang diberi nama e-latch. Dengan hanya menekan satu butang, ia akan mengaktifkan mekanisme pintu untuk dibuka dari luar dan dalam.

Lexus NX hadir dalam lapan warna menarik termasuklah satu warna baharu iaitu kelabu (Sonic Chrome). Varian F-SPORT menerima dua warna eksklusif hitam dan merah gelap bersama ruang dalaman berwarna coklat.

Pemilik NX F-SPORT juga pasti teruja dengan pilihan warna kabin merah/hitam atau hitam sepenuhnya.

Jika berminat, tempahan SUV kompak itu sudah dibuka sejak 27 April lalu di semua enam pusat Lexus di seluruh negara.

GALERI

Google ads
Back to top button