Buletin

LUMBA DRAG GUNA KERETA PERONDA. DUA ANGGOTA POLIS DALLAS DISIASAT

Pada penghujung bulan lalu, dua anggota polis Dallas mengambil bahagian dalam perlumbaan drag sehingga mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.

Tindakan kedua polis itu memandu kereta peronda ketika berlumba drag menyebabkan siasatan dibuka terhadap mereka.

Ia berikutan aksi mereka yang mendapat sambutan orang ramai dirakam sehingga menjadi viral di platform media sosial.

Menurut media tempatan WFAA selepas rakaman video memaparkan dua buah Dodge Charger berlumba di landasan drag  Yello Belly, Grand Prairie, Texas menjadi viral, siasatan rasmi telah dilakukan terhadap mereka.

Pejabat Sherif Dallas tidak merestui tindakan mereka berlumba menggunakan kereta peronda dan hasil siasatan akan menentukan nasib dua anggota tersebut.

Dalam pada itu, komuniti setempat memberitahu WFAA, dua anggota polis itu tidak patut dihukum kerana mereka mendekati masyarakat yang tidak dilakukan oleh anggota lain sejak beberapa bulan lalu.

Mereka juga menunjukkan sokongan terhadap perlumbaan drag dan menentang lumba haram di jalanan.

Salah seorang yang melontarkan komen di video berkenaan berkata “Pada mata khalayak umum, ia merupakan petanda positif, berdasarkan apa yang sedang berlaku di dalam negara. Kami tidak merasakan ia adalah tindakan wajar jika mereka berdepan masalah,” – autoevolution

Tags
Google ads
Back to top button