
MAN UTD LAMAR PERODUA TAJA JERSI, MAGUIRE SEDIA PERGI ‘TRAINING’ BAWA AXIA
Syarikat automotif tempatan, PERODUA didekati kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United bagi perbincangan mengenai potensi tajaan.
Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata pihaknya sedang menilai tawaran daripada juara EPL 20 kali itu.
“Baru-baru ini, saya ada menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada mereka boleh memaparkan logo PERODUA pada jersi mereka dan sama ada kami berminat untuk menaja mereka.

“Saya biasanya tidak berkongsi perkara seperti ini secara terbuka, tetapi secara peribadi, saya sebenarnya penyokong Arsenal. Kalau saya buat begitu, rasa macam tak adil untuk Arsenal,” katanya secara berseloroh.
Terdahulu, beliau ditanya mengenai minat syarikat berkenaan dalam penajaan sukan, khususnya bola sepak tempatan.
Asmat berkata minat daripada kelab bola sepak ternama seperti United menunjukkan PERODUA semakin dikenali di peringkat antarabangsa.
“Kami akan mempertimbangkannya, terutama untuk bola sepak di Malaysia,” katanya.
Sekiranya tajaan itu dimeterai, PERODUA bakal mengikut jejak langkah syarikat automotif antarabangsa lain seperti Chevrolet dari Amerika Syarikat dan Hyundai dari Korea Selatan yang sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan United. – Berita Harian