,
Motosikal

MAYAT LELAKI BERTOPI KELEDAR DITEMUI DALAM LONGKANG LEBUH RAYA UTARA SELATAN

Mayat seorang lelaki yang sudah tinggal rangka, tetapi masih memakai topi keledar ditemui di dalam longkang di tengah-tengah Lebuhraya Utara Selatan, dekat Nilai, Negeeri Sembilan semalam. 

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mayat lelaki  berusia 20-an yang berasal dari Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka itu dijumpai orang awam di Kilometer 281.8 arah utara lebuh raya itu  kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Siasatan di tempat kejadian telah menemui satu  mayat disyaki lelaki yang telah tinggal rangka dalam keadaan terlentang, lengkap berpakaian t-shirt dan seluar panjang berwarna hitam. M ayat juga masih memakai topi keledar. 

“Mayat itu ditemui di dalam longkang yang lebarnya lebih kurang dua kaki setengah (0.76 meter). Longkang itu terletak di tengah-tengah lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan. 

Marzukee berkata satu beg galas dan satu beg pinggang berwarna hitam turut dijumpai di sisi mayat tersebut. 

Pemeriksaan yang dibuat ke atas beg pinggang yang dipakai telah menemui satu kad pengenalan, lesen memandu serta wang tunai lebih kurang RM150 dipercayai milik si mati. 

Tiada kenderaan ditemui berhampiran tempat kejadian yang boleh dikaitkan dengan mayat ini. Hasil siasatan pasukan forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di tempat kejadian juga tidak menemui sebarang senjata berhampiran tempat kejadian. 

Menurut Marzukee, punca kematian belum dapat dipastikan dan mayat telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

“Kejadian ini dipercayai tiada unsur jenayah dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya. 

Beliau berkata pihak keluarga mangsa telah dihubungi dan memberitahu kali terakhir mereka melihat si mati pada 23 Mac lepas ketika keluar dari rumah menaiki motosikal untuk berjumpa kawannya di Kuala Lumpur.

Keluarga si mati juga ada membuat laporan polis berkenaan kehilangannya. – BERNAMA

Tags
Google ads
Back to top button