Modifikasi

MAZDA 1000 UTE

Pertama kali saya jatuh hati dengan pikap spesis kecil ini selepas melihat hasil kerja kedai NS Motorsport dari Johor Bahru.  

SONY DSC

Trak putih datsun 620 rasanya. Memang cantik, kemas gila, sangat lengkap dan saya katakan bahawa ia adalah restorasi trak paling sempurna yang pernah saya jumpa. Mungkin juga restorasi olskol yang paling serius boleh kita tengok di Tanah Melayu ini.

Saya memang tahu pasaran trak pikap kecil ini semakin naik setiap tahun. Walaupun cuma ada dua tempat duduk, trak mini tidak dijustifikasi ke arah praktikal. Rata-rata yang memandu menjadikannya  sebagai bahan koleksi, tukar-tukar rim, bawa hujung minggu dengan rakan-rakan olskool tanpa arah tuju, melepak sambil belek-belek kereta dan fikir barang apa boleh beli dari Australia atau Jepun.

SONY DSC

Memang trend pikap sekarang tengah menggila. Untuk anda faham dan hargai kereta macam ni kena ambil masa sikit. Tenung lama-lama, belek ruang kokpitnya dan barulah anda akan perasan pikap ini memang comel.

Jadi tak hairanlah kalau di Australia, budaya kenderaan utiliti atau Ute ini sudah lama bertapak. Sampai sekarang pun Holden Ute bukan main lakunya dan Proton Arena di Australia adalah satu-satunya pasaran eksport model pikap mereka.

Sebenarnya, pikap dengan konsep mini hanya popular masa zaman selepas Perang Dunia. Seperti biasa, Jepun menjadi pelopor sebuah kenderaan yang praktikal untuk membawa kargo dalam bed rendah dengan titik graviti pendek.

Mobiliti barang jadi senang dan saiz ‘kereta’ membolehkannya bergerak mudah menyusuri bahagian jalan sempit. Infrastruktur Jepun masa lepas perang yang memang tidak sempurna meletakkan kereta seperti ini (dan K-Car) sebagai sebahagian struktur sejarah pembangunan negara mereka.

Setengah abad berikutnya, pikap yang dieksport ke banyak negara ini kembali popular. Berbeza dengan tujuan pengeluarannya, kini orang beli kereta ni bukan nak bawa barang. Lebih kepada gaya.

Apabila bercakap tentang gaya, majoriti pemilik ute akan mengekalkan keasliannya selagi boleh. Beli lampu belakang harga Yamaha LC pun sanggup asalkan dapat yang ori padahal yang made in Mexico tu macam sama je saya nampak.

Di persimpangan di antara ori dan logik harga, Mansor buat keputusan untuk memodenkan traknya. Beli pun tidak murah, pikap ini direstorasi sikit demi sedikit. Badan kereta dibuat dulu dengan mengikis karat sampai dasar dan bajak depan dipasang. Sebelum dicat dengan warna merah dan memasang sunroof daripada kereta Ford Laser saya rasa.

Rim olskool juga semakin parah saya tengok dia punya harga. Tapi seperti peminat tegar Olskul yang tak akan berkompromi bab rim, Mansor memilih rim SSR Longchamp 13 inci.

Rim itu dipadankan dengan tayar Silverstone 165/60r13. Tayar kurus dan gemuk ini  ada pengaruh yang buat kereta nampak solid. Pemilihan tayar kena betul dan jangan main bubuh suka-suka saja, lepas itu mengadu kenapa kereta nampak tak sempurna.

Setiap binaan trak dibuat untuk mengangkut barang. Jadi belakangnya memang guna leaf spring untuk tahan lasak dan mampu bawak beban berat. Tapi dalam dunia yang berbeza, Mansor mengubah suai dengan memasang suspensi moden jenis boleh laras daripada HKS. Daripada kereta apa tak pasti. te tapi kalau jenis mounting boleh buat sendiri, masuk kereta apa punya pun tak jadi masalah asalkan ketinggiannya betul.

Enjin 1000 cc 4 selinder OHV diturunkan untuk proses overhaul penuh. Semua bahagian bergerak dibersihkan, seal, gasket dan getah penebat diganti, manakala  karburetor dilaras semula.

Kalau ikutkan spesifikasi, enjin ini berapa sangat kuasa kudanya, tapi itu semua tak penting. Apa yang paling mustahak, putar kunci sekali enjin hidup, aircond sejuk dan boleh lupakan nombor tow truck buat sementara.

Masuk ke dalam kabin Mazda 1000 ini, saya boleh kongsi satu perkara. Kereta-kereta oldskool ada aroma klasik yang tak sama dengan kereta moden.

Saya baru tahu tempat duduk kereta ini memang asalnya jenis bench dengan gear berkedudukan kolum dan stereng Mooneyes cun cun duduk di situ. Saya syak ini mesti pasal praktikal masa zaman dulu-dulu boleh naik tiga orang ikut saiz badan orang Jepun.

Kalau ikut nafsu, semua benda yang orang guna saya pun nak beli. Beli kereta Oldskool macam emas sekarang, harganya makin naik. Kalau dulu AE86 orang berebut sampai harganya meletup-letup, nampaknya permintaan sudah berubah.

Pikap yang full restore boleh jadi sama dengan AE86. Kalau spesifikasi macam yang saya tengok dulu rasanya harga RM50,000 hingga RM70,000 pun ada orang sanggup bayar!

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button