Buletin

MERCEDES-BENZ MAHU FOKUS KEPADA JENTERA MEWAH. MODEL MURAH MARGIN KECIL

Sama seperti pembuat kenderaan lain, Mercedes-Benz terpaksa menilai semua banyak aspek berikutan impak penularan wabak COVID-19.

Seperti yang pernah dilaporkan oleh media sebelum ini, pengeluar kenderaan dari Jerman itu merancang untuk menghasilkan jentera elektrik untuk jenama Maybach dan AMG.

Manakala model-model seperti Mercedes C-Class Coupe, E-Class Coupe model bertransmisi manual mungkin tidak lagi dihasilkan.

Semua model tersebut bakal digantikan dengan jentera elektrik dengan jenama EQ yang menggunakan platform sendiri.

Mercedes EQS, sedan mewah bersaiz S-Class akan ditawarkan mulai tahun hadapan, diikuti oleh sedan EQE dan SUV saiz penuh EQS.

Namun, ada satu lagi bayangan diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Daimler, Ola Kallenius kepada para pelabur, model-model kompak seperti Mercedes A-Class dan B-Class mungkin tidak sebahagian daripada masa depan syarikat tersebut.

Kallenius menyatakan dengan jelas bahawa model-model berkenaan bukanlah hala tuju Daimler dan pihaknya tidak perlu menjadi pesaing kepada pembuat kenderaan massa. “Segmen premium mewah biasanya mempunyai purata pertumbuhan yang lebih baik,” katanya.

Namun, ironinya ialah model-model itulah, terutama A-Class memainkan peranan penting dalam menaikkan semula jenama Mercedes-Benz apabila berjaya menarik minat pembeli lebih muda.

Kallenius juga menyatakan barisan model-model lebih kecil, termasuklah sedan CLA, crossover GLA dan GLB tidak menjadi fokus Mercedes. Adakah ini bermakna sedan A-Class, CLA, GLB dan GLA akan dihentikan produksinya?

Memandangkan semua model itu masih baharu dalam kitaran penghasilannya, maka ia mungkin akan mengambil masa untuk dihentikan. Jika tidak, pelaburan pembangunan yang begitu mahal akan jadi sia-sia sahaja.

Tetapi, Kallenius memang ada menegaskan pihaknya mahu memberi fokus kepada versi mewah untuk meningkatkan margin keuntungan. Ini kerana model-model murah seperti sedan A-Class tidaklah terlalu menguntungkan.

Apa pun, jangan risau kerana ini adalah perancangan jangka masa panjang Mercedes. Jika semua yang dirancang berjalan lancar, tiada lagi model-model ‘mampu milik’ Mercedes-Benz ditawarkan pada masa depan.   

Google ads
Back to top button