Motosikal

MFORCE BIKE PREBIU CRUISYM 300I – LANCAR SUKU KEDUA 2017, HARGA SEKITAR RM25K

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, pengedar motosika jenama SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. (Mforce Bike) akan melancarkan skuter maxi terbaharunya, CRUiSYM 300i pada tahun 2017.

Bagi memberi gambaran lebih jelas kepada pengguna tempatan, Mforce Bike telah melakukan prebiu jentera tersebut di Karnival SYM yang berlangsung di Pulau Pinang.

Untuk makluman, skuter itu baru sahaja tiba dari Taiwan untuk menjalani ujian di sini. Jika dilihat pada reka bentuk luaran dan ciri yang ada padanya, ia mungkin produk yang wajar anda tunggu sekiranya anda sedang berkira-kira untuk mendapatkan sebuah skuter maxi.

CRUiSYM 300i dikuasakan oleh oleh enjin silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair. Enjin empat injap bersesaran 278.3cc itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 27hp pada 7,750rpm dan tork 27.3Nm (6,750rpm). Dilengkapi sistem pancitan bahan api elektronik, ia kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT.

Jentera seberat 198kg itu mampu memecut pada kelajuan sekitar 130km/j, memang sesuai untuk tunggangan jarak jauh ke tempat kerja atau sekadar pergi berjalan-jalan pada hujung minggu. Lebih menarik lagi, skuter itu didakwa mampu mencatat jarak 38km untuk setiap liter petrol.

Bagi memberi kuasa membrek yang lebih meyakinkan, CRUiSYM 300i dilengkapi brek cakera pada kedua-dua roda bersama bantuan sistem ABS.

Sebagai sebuah skuter maxi, kemudahan dan keselesaan penunggan serta pembonceng memang dititikberatkan. Jadi, ruang kargo di bawah tempat duduk boleh menempatkan dua topi keledar dan barangan lain tanpa sebarang masalah.

Tempat duduk yang lebar dan empuk itu juga membolehkan anda berasa selesa, biarpun untuk jarak tunggangan yang jauh. Ia turut dilengkapi glove box, port USB dan pengecas 12V untuk kemudahan penunggang.

Tampil dengan lebih menarik, lampu isyarat membelok, lampu nyalaan siang dan belakangnya menggunakan butiran LED.

Dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun ini, CRUiSYM 300i dikatakan ditawar pada harga sekitar RM25,000 seunit.

BACA: SYM LANCAR SKUTER CRUiSYM 300i TAHUN DEPAN! 

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button