Pandu Uji

MINI 5 PINTU – RM238,888

MINI Malaysia baru-baru ini memperkenalkan varian kedua MINI generasi ketiga, MINI 5 pintu baharu.

 MINI-5-Door-mekanika (4)

Mendefinisikan semula keseronokan pemanduan di kawasan urban, ia menjadi model MINI pertama yang mempunyai lima pintu. Mengekalkan kualiti pemanduan MINI yang seperti sebuah go-kart dan reka bentuk ikonik, MINI 5 pintu dilihat akan terus menawarkan keseronokan, kecekapan, keselesaan, keselamatan, ketersambungan serta praktikaliti.

“Menerusi pengenalan MINI 5-pintu ini, kami di MINI Malaysia amat teruja untuk terus menawarkan para pelanggan dengan rangkaian model lebih luas daripada jenama kereta kompak premium yang paling mengujakan di dunia ini,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Alan Harris

 SONY DSC

Harris juga memberitahu bahawa model CBU itu sudah pun berjaya menarik minat para peminat setia jenama MINI tempatan.

MINI Cooper S 5 pintu adalah 16 inci lebih panjang berbanding MINI hatch. Lebih tepat lagi, dimensi tubuhnya sepanjang 3,982mm, lebar 1,727mm dan memiliki ketinggian 1,425mm.

 SONY DSC

Semua ukuran ini sesuai dengan penambahan dua pintu. Selain memudahkan urusan keluar masuk para penumpang di tempat duduk belakang. Bukan itu sahaja, penambahan panjang badannya itu turut meningkatkan ruang kargo sebanyak 67 liter menjadi 278 liter, berbanding model MINI hatch.

Melihat reka bentuk luarannya, penampilan tersendiri MINI Cooper S 5-Pintu baharu diserlahkan lagi dengan gayaan MINI yang sudah cukup terkenal. Ia dapat dikenal pasti menerusi rekaan gril radiator dengan corak sarang lebah dan lampu utama eliptikal yang klasik.

 MINI-5-Door-mekanika (44)

MINI 5 pintu juga dilengkapi lampu nyalaan siang dan lampu utama LED, serta lampu kabus. Di samping fungsi Park Distance Control pada bahagian belakangnya. MINI Cooper S 5 pintu menggunakan rim dua tona Roulette Spoke bersaiz 17 inci yang dibalut dengan tayar jenis run-flat.

Jentera itu dijana oleh enjin petrol MINI TwinPower Turbo Technology bersesaran 2.0 liter. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum mencecah 141kW/192hp dan tork 280Nm demi menawarkan  prestasi pemanduan lebih sporty.

 MINI-5-Door-mekanika (46)

Enjin sama yang turut digunakan model MINI 3 pintu baharu itu kemudian dipadankan dengan transmisi sports enam kelajuan automatik. Hasilnya, MINI Cooper S 5 pintu  berupaya memecut dari 0-100km/j dalam tempoh hanya 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 230km/j. Biarpun dengan angka-angka tersebut, ia tetap mampu menawarkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 5.5 liter bagi setiap 100km dengan tahap emisi  129g/km.

Menjengah ke dalam ruang kabin, MINI Cooper S 5 pintu terus menawarkan ambien dalaman yang premium. Ruang itu menampilkan upsholteri kulit berwarna hitam (Cross Punch Carbon Black), serta tempat duduk sports untuk pemandu dan penumpang hadapan.

 SONY DSC

Kemasan dalaman yang terdiri daripada corak kotak-kotak, garis berwarna krom dan bumbung yang menggunakan material Anthracite nyata menyerlahkan lagi kemewahan ruang ini.

Rasa sporty ruang kabin kereta disempurnakan dengan stereng multi fungsi MINI John Cooper Works yang hadir bersama paddle shifter, tuil kawalan lampu automatik dan alat pengesan hujan. Stereng ini dibalut kulit yang ditebuk agar tidak licin, jahitan benang berwarna merah dan sulaman logo JCW pada bahagian bawahnya.

 SONY DSC

MINI Cooper S 5 pintu baharu juga menawarkan asas-asas yang ideal untuk kawalan yang mudah, intuitif dan selamat. Kawalan yang melibatkan sistem bantuan pemandu, infotainmen dan keselesaan itu disediakan melalui panel instrumen tengah MINI.

MINI Connected misalnya menawarkan integrasi ekstensif di antara telefon pintar dengan kereta. Ia membolehkan pemandu menggunakan perkhidmatan berasaskan kepada internet seperti infotainmen, komunikasi dan pengalaman memandu. Semua ini boleh dioperasi melalui paparan Visual Boost LCD MINI bersaiz 6.5 inci dengan lima kawalan utama.

 SONY DSC

Ruang dalaman MINI Cooper S 5 pintu bukan sahaja menarik perhatian pada waktu siang, malah konsep pencahayaannya yang unik juga mampu mengubah pemanduan pada waktu malam. Terutama apabila ia didatangkan dengan pakej MINI Excitement yang membolehkan modul-modul instrumen dan operasi, termasuklah kemasan pintu dan kawasan konsol tengah dinyalakan.

MINI Cooper S 5 pintu boleh didapati dalam tujuh warna berbeza dengan tambahan warna biru (Electric Blue) sebagai  warna baharu MINI, eksklusif untuk model ini. Sementara bahagian bumbung, perumah cermin sisi dan garis pada bonet pula didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam atau putih.

 MINI-5-Door-mekanika (48)

MINI Cooper S 5 pintu juga hadir bersama pakej program MINI Service Inclusive yang menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang komprehensif selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 50,000km. Model baharu ini akan berada di semua pengedar sah MINI di seluruh negara mulai 15 November 2014.

Jika berminat, MINI Cooper S 5 pintu boleh anda miliki pada harga RM238,888 seunit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans).

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button