Modifikasi

MITSUBISHI LANCER CK CONVERT EVO IV

Sejak Proton ditubuhkan, dari masa itu jugalah rakyat Malaysia didedahkan dengan produk-produk buatan Mitsubishi secara meluas.

Model pertama Proton, Saga diasaskan daripada model Lancer Fiore. Manakala model Wira dan seangkatan dengannya diasaskan daripada model Lancer. Sebab itu apabila orang Malaysia mula berjinak-jinak mengubah suai kereta, enjin Mitsubishi menjadi pilihan. Ini kerana kedudukan cagak dan alat ganti yang sama.

Jadi, apabila pemilik Proton ingin menggantikan kereta mereka dengan kereta prestasi tinggi buatan Jepun, model Mitsubishi Lancer Evolution ialah model pertama yang muncul dalam kepala mereka.

Memandangkan harga kereta di Malaysia yang terlebih mahal, jadi bukan semua orang mampu nak beli Evo original. Tapi dengan pengalaman mengubah suai kereta Proton menjadi Evo, tak susah sebenarnya untuk menukar Lancer CK biasa menjadi Evo. Cuma masalahnya, model Lancer CK susah juga nak jumpa.

Sekarang, Lancer CK boleh dibeli dengan harga yang agak murah. Ini mendorang ramai peminat kereta tempatan mengubah suai kereta tersebut menjadi klon Evo. Hairi, pemilik Lancer ini ingin melakukan pengubahsuaian pada kos serendah yang mungkin.

Maka half-cut pilihannya ialah model Evolution IV yang lebih murah berbanding half-cut Evo V atau VI disebabkan aksesorinya yang kurang digemari oleh peminat tegar Evo. Macam mana pun, enjin Evo IV ini masih menggunakan enjin 4G63 turbo dengan 280 kuasa kuda. Tak jadi masalah bagi mereka yang mahukan kuasa tanpa terlalu banyak mengeluarkan wang.

Enjin itu dibiarkan hampir standard. Sampaikan kotak udara pun tidak ditukar. Cuma injap blow-off daripada HKS SSQV dipasang bagi memberikan sedikit keseronokan kepada pemandu untuk mendengar bunyi desingan udara ketika pedal pendikit dilepaskan.

Tahap boost turbo dikawal oleh pengawal boost manual buatan custom. Manakala  sistem ekzos diubah suai sepenuhnya dengan paip buatan custom yang diakhiri dengan peredam bunyi HKS Super Drager.

Walaupun kereta ini diubah suai secara ringan pada bahagian enjin, kotak gear pacuan empat roda Evo IV berjaya disalin sepenuhnya. Satu set klac perlumbaan Exedy menggantikan klac asal yang telah lama haus.

 

Keseronokan memandu bukan saja terletak pada enjin yang power, pengendalian kereta pun sama penting. Apa guna pakai kereta beratus-ratus kuasa kuda tapi kita rasa kurang yakin untuk memandunya dengan laju? Jadi Hairi menaik-taraf sistem gantungan asal Lancer CK dengan satu set penyerap hentak boleh laras sepenuhnya daripada Tanabe. Sebuah strut bar dari RalliArt dipasang kat depan bagi mengurangkan body flex.

Sistem brek turut ditingkatkan keupayaannya dengan menggunakan brek lengkap Evo IV yang hadir dengan 5 lug nut. Rim-rim OZ Racing OEM Evo IV bersaiz 16 inci digunakan sebagai upgrade paling mudah. Tayar-tayar Yokohama bersaiz 205/50/16 digunakan untuk melengkapkan naik taraf pengendalian kereta ini.

Untuk penampilan, Hairi menggunakan bodykit yang datang standard dengan half-cut. Bodykit Evo IV kurang popular bagi peminat Evo, jadi harganya agak rendah berbanding dengan bodykit Evo yang lain. Bodykit Evo IV ini ialah pengubahsuaian jenis plug and play bagi cesi Lancer CK. Setiap cagak panel badan, lampu dan bonet adalah 100% sama.

Hairi bagaimanapun membuat sedikit kelainan dengan menggantikan bonet aluminium asal Evo IV ini dengan bonet gentian karbon. Ia bukan sahaja nampak lagi ganas, malah jauh lebih ringan berbanding bonet asal.

Pada ruang kabin, sekali lagi aksesori lengkap Evo IV disalin masuk. Tempat duduk Recaro bersama-sama kulit pintu menggantikan barang asal yang kelihatan cukup membosankan.

Papan pemuka Evo IV dipasang bersama aksesori-aksesori RalliArt yang unik seperti stereng, tombol gear dan pedal kaki. Untuk aksesori elektronik, sebuah turbo timer A’PEXi klasik dan meter boost Blitz digunakan.

Lancer ialah contoh transformasi sebuah kereta biasa menjadi luar biasa tanpa perlu berbelanja terlalu tinggi. Walaupun tak dapat yang asli, replika pun ok kan?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button