Motosikal

MODENAS BANGKIT: KARISMA 125-RM5K, ELEGAN 250-RM12K

Model yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Modenas hari ini melancarkan tiga model serentak di ibu pejabatnya di Glenmarie, Shah Alam. Model-model itu ialah Karisma 125, Elegan 250 dan Kymco Downtown 250i.  

Saya boleh katakan bahawa Modenas menawarkan harga yang sangat kompetitif untuk skuternya. Karisma 125 boleh anda miliki pada harga RM5,278 seunit, Elegan 250 berharga RM13,599 dan Downtown 250i RM22,790 seunit (harga termasuk GST).

modenas-elegan-250-mekanika2

Dengan harga yang begitu menarik, tidak mustahil Modenas mampu menjadi jenama pilihan rakyat Malaysia sekali lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abdul Kadir mensasarkan untuk menguasai lebih 10 peratus pasaran skuter bersesaran 125cc tempatan. Bagi pasaran skuter 200 hingga 250cc pula, Modenas ingin menguasai 50 peratus.

“Modenas mensasarkan untuk menjual 2,000 unit  Karisma 125, serta 500 unit Elegan dan 250 unit Kymco Downtown pada tahun depan,” kata Amirudin optimis.

BACA – SAH! EDARAN KYMCO MILIK MODENAS

BACA – PERKEMBANGAN TERKINI SUPERCUB MODENAS 150

modenas-karisma-125-mekanika

KARISMA 125

Karisma 125 disasarkan untuk penunggang lebih muda. Karisma diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2003. Pada waktu itu, ia menjadi antara skuter terlaris dengan jualan mencecah 16,000 unit. Sekali menguasai 26 peratus pasaran skuter.

Karisma 125 generasi baharu dikuasakan oleh enjin 125cc yang mampu menjana kuasa 7.0kW. Antara ciri penting yang ada pada skuter tersebut ialah satu port USB untuk mengecas peranti elektronik. Sistem kawalan kunci pelbagai fungsi dan ruang penyimpanan barang yang luas. Ia hadir dalam dua warna iaitu merah dan putih, bersama grafik yang menarik.

modenas-elegan-250-mekanika4

ELEGAN 250

Pada tahun 2004, Elegan hadir dengan enjin bersesaran 150cc. Elegan 200 pula dilancarkan pada tahun 2010.  Kini,  Elegan dikuasakan oleh enjin lebih besar iaitu 250cc. Enjin Single Overhead Cam (SOHC) dengan sistem pancitan bahan api itu berupaya menjana kuasa 16.5kW. Ia menggunakan sistem penyejukan cecair untuk menawarkan prestasi tunggangan yang lebih lancar dan mengujakan.

Elegan 250 menggunakan khidmat suspensi jenis fork teleskopik untuk roda hadapan. Manakala roda belakang pula menggunakan Trailing Arm untuk memberi tunggangan lebih selesa. Tugas membrek diserahkan kepada brek cakera   pada kedua-dua roda. Untuk tampil lebih bergaya, ia dipasang dengan meter LCD.

Jadi, Elegan 250 pasti cukup sesuai untuk mereka yang inginkan sebuah skuter maxi.Elegan 250 didatangkan dalam warna hitam dan putih.

kymco-downtown-250i-mekanika2

KYMCO DOWNTOWN 250i

KYMCO Downtown 250i menggunakan enjin empat lejang silinder tunggal empat injap dengan sistem penyejukan cecair DOHC. Enjin bersesaran 246cc yang dipadankan dengan kotak gear CVT itu mampu menghasilkan kuasa 17.1kW dan tork 23.1Nm.

Ini merupakan model pertama Kymco yang dilancarkan selepas Edaran Modenas Sdn. Bhd (EMOS) mendapat hak pengedaran eksklusif jenama skuter dari Taiwan itu. DRB Hicom menyifatkan kerjasama di antara Modenas dan Kymco memang tepat pada masanya.

modenas-skuter-launch-mekanika

Apa yang pasti, Modenas dan Kymco boleh memanfaatkan kekuatan serta pengalaman masing-masing. Ia bakal melibatkan  aspek reka bentuk motosikal, pembangunan, pengilangan komponen, pemasangan, pemeriksaan, pengedaran, jualan dan aktiviti selepas jualan.

Untuk pasaran tempatan, skuter Kymco akan dipasang di kilang Modenas di Gurun Kedah. Bagi menyokong keperluan pemilik skuter Kymco, EMOS merancang untuk memanfaatkan rangkaian 200 pengdar sedia adanya. Di samping pusat servis di Gurun, Ipoh, Subang, Johor Bahru dan Kuantan.

EMOS juga telah melantik 30 pengedar sebagai sebahagian daripada rakan niaganya untuk memperkenal serta mengukuhkan jenama Kymco di pasaran tempatan.

Haa.. korang tunggu apa lagi? Murah dah skuter ni..

Tags
Google ads
Back to top button