Modifikasi

MAZDA RX-8 ADAM’S

Ini satu lagi hasil nukilan kenderaan daripada kelab Leader Motorsport. RX-8 bakal menjadi lagenda tidak lama lagi kerana pengeluaran komersialnya telah dihentikan sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (3)

Selepas lebih tujuh tahun dikeluarkan dengan dua versi facelift, Mazda mengambil keputusan untuk menamatkan hayat RX8. Sekali gus mengakhiri lagenda siri RX buat masa sekarang. Jika model ini tidak ada kesinambungannya, nescaya RX8 akan menjadi buruan ramai untuk dekad-dekad akan datang sebagai barangan koleksi, sama seperti RX-7 Infini.

Memilih kereta yang betul untuk tujuan modifikasi audio mungkin satu cabaran besar. Tapi bukan semua orang fokus membuat audio semata-mata tanpa menghiraukan kondisi kenderaan.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (7)

Bukan juga semua orang gemar menunjuk-nunjuk ataupun membuat sehabis baik dengan tema autoshow. RX-8 ini adalah contoh hobi kereta dan audio yang digabungkan bersama dalam sebuah kereta sports yang digunakan untuk pemanduan harian.

Pemiliknya dikenali sebagai Fauzi. Ini ialah kereta idamannya sejak sekian lama dan tiada yang lebih indah bila berjaya memilikinya setahun yang lalu. Seperti anak muda yang lain, sedikit demi sedikit pengubahsuaian dibuat pada coupe 4 pintu ini.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (5)

Pertama, suspensinya ditukar kepada jenis boleh laras GAB SS untuk mendapat kerendahan yang diinginkan. Tayar keluaran kilang pula digantikan dengan Dunlop bersaiz SP Sport 225/45/18.

Bahagian kokpit dipasangkan dengan enam buah tolok bacaan tambahan yang bukan sahaja membantu memantau keadaan enjin rotari itu, malah melengkapkan bahagian kosmetik menjadikan ruang dalamannya kelihatan lebih sporty. Beberapa penilitian  dibuat untuk memasang bodykit berbeza. Tetapi akhirnya, penambahan lips dan splitter sisi pada badan asal nampak sudah cukup kemas.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (12)

Fauzi ialah salah seoarang ahli kelab Leader yang aktif di Lembah Klang. Bila dah ramai, dia mula terpengaruh untuk mengubah suai sistem audionya pula. Apa yang bermula dengan sistem yang ringkas telah bertukar menjadi konsep audio yang lebih serius bila komponen demi komponen diganti.

Sistem utama kereta ini masih menggunakan pemain asal binaan dalam. Ada kemungkinan untuk menukar perumah luaran untuk memasukkan pemain aftermarket tetapi kerjanya sukar dan sedikit sebanyak mencacatkan rekabentuk menarik konsol tengah kereta ini.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (18)

Lagipun, pemain asal kereta ini kualitinya masih bagus untuk dikembangkan. Cuma fungsi pelarasannya agak terhad. Justeru, sebuah pre amp Car Spec CX808 dipasang sebagai pelaras bypass. Untuk memaparkan visual pada skrin tengah, Fauzi memasang sebuah pemain DVD Sony MEXDV1500U yang disorokkan di bahagian konsol tengah belakang yang saya hampir tidak perasan kewujudannya!

Kereta sports begini bukanlah jenis kenderaan yang anda pilih untuk mengangkut barang, apatah lagi dengan sistem audio terbina padanya. Seperti yang saya maklumkan tadi, praktikaliti menjadi tunjang utama Fauzi sebelum membuat sebarang keputusan.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (14)

Hasilnya, walaupun dengan sepasang sub woofer bersaiz 12 inci di belakang but, ruang kargonya masih berbaki untuk membawa barang. Bahagian but dipasangkan dengan kotak khas yang menempatkan sepasang sub 12 inci Memphis yang dikuasakan oleh amplifire Adams Digital siri Energy.

Dua unit power amp digunakan untuk menyempurnakan keseluruhan sistem. Power amp Audio System M-Line 75-4 jenis 4 channel ini diletakkan di dalam but dengan plastik perspek melindunginya. Setiap satu dari amp itu menyalurkan kuasa pada speaker komponen di bahagian depan kokpit dan boot lid.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (11)

Pujian harus diberikan bila installer mampu membina set mounting yang kemas di bahagian boot lid bersama sebuah monitor TFT 7 inci di tengahnya. Kemasan di bahagian ini nampak cukup serasi dengan penggunaan pvc gelap yang kontras warna perak pada bahagian kereta. Kerja kemasnya seolah-olah memperlihatkan bahawa ia memang aksesori dari kilang yang dipilih sebagai opsyen belian.

Mazda-RX-8-Adams-mekanika (6)

Kereta ini memang nampak ‘cool’ dengan penampilan dan kemasan audio yang sempurna. Ia masih sebuah RX-8 yang tidak ‘autoshow’, tetapi tidak malu untuk hadir mempersembahkan audionya. Kadang-kadang sederhana memang pilihan yang baik bukan?

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button