Artikel PilihanModifikasi

SIRI 1: PROTON WIRA – WIRA NEGARA YANG SEBENAR!

Selepas kami menyenaraikan 5 pilihan kereta murah untuk rakyat Malaysia, ramai yang memberi komen kenapa Proton Wira tiada dalam senarai?

Proton-Wira-mekanika (1)

Nah. Kereta ini terlalu istimewa, didatangkan dalam pelbagai varian. Jadi kami memang bercadang untuk menulisnya dalam artikel berasingan.

Jika Waja dan Gen2 menggunakan platform moden Proton dan Saga/Iswara  merupakan teknologi tradisional, Wira pula berada di tengah-tengah titik perubahan. Dari teknologi asas kepada sebuah objek yang boleh dikira sebagai cukup sempurna bagi pemilikan kereta keluarga ketika itu.

Dengan suspensi bebas di belakang, aksesori seperti tingkap kuasa dan stereng kuasa (power stering Iswara hanya pada model automatik dan spec UK), Wira dianggap mewah untuk kereta yang berharga murah.

Proton-Wira-mekanika (6)

Keluarga Proton Wira ialah kereta yang paling popular sepanjang pengeluarannya yang bermula pada tahun 1993. Proton Wira dihasilkan untuk memastikan Proton terus berdaya-saing dari segi teknologi.

Ini kerana kereta-kereta sedan keluarga ketika itu seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Nissan Sentra hadir dengan pelbagai teknologi moden yang menarik. Antaranya  enjin berbilang injap, sistem suntikan bahan api elektronik dan sistem gantungan jenis bebas. Hampir semua ciri tersebut tidak boleh didapati pada model Proton Iswara ketika itu.

Wira juga ialah kereta pertama Proton yang hadir di dalam satu ‘keluarga’. Kereta yang berkongsi casis sama untuk pelbagai jenis reka bentuk badan dan pilihan enjin.

Proton-Wira-mekanika (3)

Berdasarkan model Mitsubishi Lancer generasi keempat, Wira hadir dengan hampir semua pilihan bentuk badan yang ditawarkan oleh kembarnya itu seperti sedan, hatchback, aeroback dan coupe (wagon je yang tak buat).

Pada tahun 2002, Proton mengejutkan orang ramai apabila mereka melancarkan model versi pikap yang dinamakan Arena – satu jenis bentuk badan yang Mitsubishi sendiri tak pernah keluarkan!

Keluarga Wira didatangkan dengan pelbagai pilihan enjin. Bermula daripada enjin 1.3 dan 1.5 liter yang turut digunakan oleh Iswara, enjin 1.6 liter 16 injap dengan sistem pancitan bahan api elektronik dan enjin 1.8 liter DOHC 16 injap. Paling tak disangka, , pilihan enjin diesel 2,000cc! Model ini terus dihasilkan sebelum ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2007.

Proton-Wira-mekanika (4)

Pilihan jenis badan dan enjin yang ditawarkan oleh Proton ketika itu amat mengujakan pembeli. Tidak keterlaluan jika saya katakan, era Wira menjadi zaman kegemilangan Proton.

Selepas 20 tahun, keluarga Wira ini masih mampu menarik pembeli oleh kerana harga pasaran terpakainya yang murah. Bagaimanapun, populariti model ini di Malaysia juga membuatkan harga aksesori JDM dan half-cut yang berkaitan dengannya menjadi agak mahal.

Proton-Wira-mekanika (9)

MASALAH LAZIM  

Karat weh!

Walaupun rata-rata boleh dikatakan kereta ini mempunyai tahap reliabiliti yang bagus, model Wira tidak dapat lari daripada beberapa masalah.

Model awalnya (1994 – 1995) mempunyai masalah karat yang serius pada bahagian bumbung. Untuk mengatasi masalah ni, bumbung baru terpaksa ditukar. Mengikut pengalaman kami, tak pernah lagi saya jumpa percubaan membaiki (buang karat) yang 100 peratus berjaya kerana karat biasanya akan timbul semula.

Lampu akuarium

Lampu kereta, terutamanya bahagian belakang sering mengalami masalah dimasuki air dan kadang-kala air akan bertakung di dalam lensa lampu dengan banyak. Masalah ini sering melanda model awal. Tetapi model facelift (1996 ke atas) pun tidak kebal daripada masalah ini.

Masalah ini boleh diatasi dengan meletakkan gam silikon pada seal lampu. Anda juga boleh menebuk lubang kecil pada bahagian bawah lampu untuk mengurangkan masalah kondensasi atau air bertakung. Bab tebuk lubang tu memang saya dah tengok orang buat dan berhasil.

Proton-Wira-mekanika (10)

Tingkap tak berkuasa

Masalah yang akhirnya menjadi bahan gurauan untuk Proton ialah sistem tingkap berkuasanya (power window). Masalah ini bukan berpunca daripada sistemnya, tetapi kerana getah tingkap yang sudah mengeras.

Ada juga masalah yang berpunca daripada kabel regulator yang gagal berfungsi. Ramai peminat Wira mengambil keputusan untuk menggunakan barang JDM asli daripada Lancer untuk menyelesaikan masalah ini.

Throttle Body (badan pendikit?)

Model 1.6L yang menggunakan enjin 4G92 sering dilanda masalah throttle body. Simptom masalah ini ialah timing enjin yang tidak stabil (turun naik) ketika melahu. Masalah ni boleh disembuhkan dengan menggantikan throttle body atau ‘stepper motor’ di dalam throttle body.

Sistem bunyi ekstra

Akhir sekali, masalah universal Wira ialah banyak bunyi tikus dan cengkerik dalam kereta. Memandangkan kereta ini sudah berumur 20 tahun, jadi masalah memang tak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, jika anda seorang yang penyabar, bunyi-bunyi ni boleh dikurangkan. Caranya, periksa semua skru tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Periksa juga semua bushing kereta kerana 90 peratus daripada masalah bunyi timbul dari sini.

Baca artikel Siri 2 di SINI.

Google ads
Back to top button