Motosikal

JENTERA KEMBARA BINELLI TRK 502 – BERMULA RM28,888 SEUNIT, BERBALOI KE NAK BELI?

Selain model super moped Benelli RFS 150i, pengedar baru motosikal jenama Benelli di Malaysia, Mforce Bike Holdings turut memperkenalkan jentera kembara Benelli TRK 502.

Model tersebut membuat penampilan pertama pada acara Intermot 2016 di Jerman tahun lalu. Seperti yang dijangka, sambutan terhadap jentera mampu milik ini cukup memberangsangkan.

Kini, pengguna tempatan sudah mempunyai peluang untuk memiliki sebuah model kembara pada harga yang cukup menarik. TRK 502 ditawarkan pada harga bermula RM28,888 seunit untuk model standard.

Manakala varian TRK 502 SP berharga RM29,888 dan TRK 502 SP2 ialah RM30,588 seunit (tidak termasuk GST). Ketiga-tiga varian itu dibezakan menerusi aksesori seperti kotak penyimpanan barang yang ada padanya.

Dibina di atas kerangka keluli trelis, jentera itu menjanjikan tunggangan yang selesa, ergonomik, lasak dan boleh membawa anda ke mana-mana sahaja. Terima kasih kepada suspensi fork teleskopik USD pada roda hadapan dan lengan ayun besi dengan shock tungggal teleskopik di belakang.

TRK 502 dijana oleh enjin empat lejang dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 500cc yang baru. Enjin yang dilengkapi sistem DOHC, 4 injap setiap silinder itu berupaya menjana kuasa maksimum 47hp pada 8,500rpm dan tork 45Nm pada 5,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Mempunyai berat keseluruhan 175kg, TRK 502 didakwa berupaya memecut sehingga 160km/j. Dengan kapasiti tangki 20 liter dan jarak roda setinggi 220mm, anda boleh mengharung laluan biasa atau off-road dengan mudah.

Brek terdiri daripada cakera berkembar bersaiz 320mm di hadapan dan cakera 260mm pada roda belakang. Manakala saiz tayar pada rim 17 inci itu ialah 120/70ZR17M/C (hadapan) dan 160/60ZR17M/C (belakang).

TRK 502 didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu putih, kelabu dan merah/hitam.

Kehadiran TRK 502 pasti dapat memeriahkan lagi segmen motosikal adventure berharga mampu milik yang kini dikuasai oleh beberapa model seperti Honda CB500X dan Kawasaki Versys 650cc.

BACA: BENELLI TRK 502 MASUK MALAYSIA 2017, HARGA BAWAH RM30K

BACA: BENELLI TRK 502 TOURING, SI BADAN BESAR 500CC, BAWAH RM30K BOLEH?

GALERI

Google ads
Back to top button