Buletin

MYVI, AXIA, BEZZA KERETA TERLARIS DI MALAYSIA SETAKAT JULAI 2020

Perodua dilapor telah mendaftarkan 23,203 kenderaan pada Julai 2020, mengatasi Jun sebagai bulan jualan tertinggi setakat tahun ini sebanyak 9.2 peratus, sekali gus meningkatkan jumlah jualannya setakat tahun ini (YTD) kepada 97,373 unit.

Pengeluar kenderaan tersebut menganggarkan penguasaan pasaran Julai dan YTD sebanyak 40% dan 42%. Ia diterajui oleh model Myvi, Axia dan Bezza yang menduduki tiga tempat teratas dari segi jualan YTD di Malaysia dengan 29,313, 28,107 dan 25,416 unit.

“Perodua Myvi, kenderaan terlaris di Malaysia setiap tahun sejak 2006, baru-baru ini telah dinaik taraf dengan sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) 2.0 terkini.

“Ia kekal menjadi antara kenderaan dengan ciri keselamatan canggih yang paling mampu milik di negara ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan Perodua bangkit kembali dengan cepat. Ini didorong oleh pengecualian cukai jualan yang akan berlangsung sehingga akhir tahun.

Sekiranya perkembangan itu berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan akan membolehkan Perodua membantu eko-sistem pembekal dan pengedar automotif pada masa yang sukar ini.

Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menganggarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) sekurang-kurangnya 500,000 unit diperlukan tahun ini untuk memastikan kelangsungan eko-sistem automotif.

Di sebalik krisis COVID-19, Perodua sedar bahawa ia harus bekerja pada kapasiti penuh untuk membantu ekonomi Malaysia dan melindungi pekerjaan.

Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk memaksimumkan kepuasan pelanggan.

Perodua komited untuk terus menawarkan nilai yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga yang berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih terkini.  

Semua model semasa Perodua mempunyai kandungan komponen tempatan lebih 90 peratus. Disebabkan skala ekonominya, alat ganti servis ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mudah didapati.

Google ads
Back to top button