
NAMA PROTON SAGA TERCETUS KETIKA MAIN SAHIBBA – BUKAN DARI BIJI SAGA!
Proton mula mengorak langkah pada tahun 1985 dengan pelancaran model pertama kereta nasional, iaitu Proton Saga.
Mengikut kiraan hasil jualan, Proton Saga telah terjual lebih 1.2 juta unit sejak pertama kali ia dilancarkan. Sudah menjadi satu kebanggaan buat pemilik kereta Proton Saga kerana kereta ini mempunyai nilai nostalgia yang sangat tinggi.
Proton telah bekerjasama dengan pengeluar dari Jepun iaitu Mitsubishi Motors Corporation dalam menghasilkan Proton Saga untuk membina kereta tersebut berdasarkan platform Mitsubishi Lancer.

Kerjasama strategik dengan syarikat Mitsubishi itu telah memberikan impak positif di mana pemindahan dan kepakaran bidang automotif kepada syarikat Proton berlangsung secara aktif.
Hasilnya, Malaysia mempunyai kepakaran untuk mereka bentuk kereta 100 peratus secara tempatan seperti Proton Gen-2, Proton Savy, Proton Persona dan Proton Iriz.
Tetapi, bagaimanakah nama Saga tercipta?

Melalui ciapan dari pengguna Twitter, @Vandeeta3, nama Saga tercetus ketika Proton menganjurkan satu pertandingan mencari nama model kereta nasional pertama.
“Sebenarnya nama Proton Saga ni bukanlah terinspirasi daripada biji saga yer,” tulis @Vandeeta3.
Pertandingan tersebut terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan telah menerima 102,823 penyertaan sebelum hanya tiga nama yang menjadi penentu bagi nama model pertama Proton iaitu Saga, Perdana serta Gagah.
“Diikutkan bukan seorang je bagi cadangan nama Saga tetapi 11 orang. Kisah nama Saga ini bermula dari seorang Sarjan bernama Ismail Jaafar yang bertugas di Markas Tentera Dua Divisyen, Pulau Pinang. Pada waktu itu, beliau sedang bermain Sahibba bersama rakan-rakannya dan menyusun perkataan Saga. Ketika itu beliau terfikir maknanya dalam perkataan English adalah kesaktian dan kegagahan wira,” jelas @Vandeeta3 lagi.
Tidak hanya menterjemahkan frasa ‘saga’, Sarjan Ismail Jaafar turut memberi maksud bagi setiap huruf tersebut.
S = Safety, Stability (keselamatan, kestabilan)
A = Achivement (pencapaian)
G = Greatness (keagungan)
A = Ability (kebolehan)
Mungkin disebabkan dia berseloroh ketika ditanya dari mana datangnya perkataan saga itu, maka ramai yang ingat asal-usul nama Proton Saga diinspirasikan dari biji buah saga.