NAZA N5R – 250CC SPORTBIKE PADA HARGA RM13,888
Naza Bikes Sdn. Bhd. hari ini melancarkan motosikal terbaharunya yang dikenali sebagai Naza N5R.
Dilengkapi enjin bersesaran 250cc, N5R ialah versi fairing model naked Naza N5. Selain dipasang dengan fairing, N5R dibezakan menerusi lampu utama berkembar yang nipis.
N5R juga menampilkan dua konsep utama. Pertama, karekter sporty yang disumbang oleh chasis ringan. Kedua, sistem EZ-suit yang membolehkan penunggang menukar posisi tunggangan dengan cara mengubah talaan bar hendal, ketinggian tempat duduk dan pemijak kaki.
“Jentera ini direka untuk memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat terhadap motosikal bersesaran 250cc yang lebih dinamik. Mengikuti kejayaan N5, N5R mampu memberikan rasa lebih sporty dengan posisi tunggangan yang boleh diubah dan fairing,” kata Ketua Jualan dan Pengedaran Naza Bikes, Tam Doon Wei.
Untuk menawarkan posisi tunggangan yang lebih sporty dan mudah dikawal, tempat duduknya telah dinaikkan sebanyak 20mm. Sementara bar hendal direndahkan 30mm dan pemijak kaki dialihkan 30mm ke belakang.
Enjin silinder tunggal itu berupaya menjana kuasa 28PS @ 9,500rpm dan tork 24.17Nm @ 7,000rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotal gear enam kelajuan.
Kerangka trellis itu turut dipasang dengan fork teleskopik 37mm untuk roda hadapan. Manakala roda belakang menggunakan suspensi lengan ayun berkembar dengan penyerap hentak hidraulik.
Kuasa membrek pula diserahkan kepada cakera bersaiz 300mm dengan angkup empat piston di hadapan. Manakala brek belakang menggunakan cakera bersaiz 230mm dengan angkup dua piston.
Motosikal street ini memiliki berat kering sekitar 143kg, lebih ringan berbanding mana-mana pesaingnya.
Naza N5R ditawarkan pada harga RM13,888 seunit (tidak termasuk GST). Naza Bikes mensasarkan untuk menjual 300 unit N5R pada tahun ini. Dengan 80 peratus varian Standard dan baki 20 peratus versi SE.
Setakat ini, lebih 1,400 N5 telah berjaya dijual di seluruh negara.