Artikel Pilihan

NISSAN HASILKAN SEMULA ALAT GANTI DAN ENJIN RB26. SUDAH BOLEH DIBELI DI JEPUN

Salah satu cabaran paling sukar dihadapi oleh peminat kereta klasik adalah kebolehdapatan alat ganti yang terhad.

Tetapi kini, usaha untuk merestorasi model-model lagenda Nissan Skyline mungkin tidalk sesukar dahulu.

Ini kerana Nissan dilapor akan menghasilkan semula alat-alat ganti model klasik termasuklah enjin enam selinder sebaris RB26! 

Inisiatif yang diambil oleh Nissan itu nyata diterima baik oleh peminat, terutama selepas divisyen prestasinya NISMO mengumumkan bahawa ia akan menghasilkan semua beberapa alat ganti untuk model-model klasik popularnya. 

Enjin RB26 Nisan sememangnya diketahui menjadi pesaing utama enjin 1JZ dan 2JZ enam selinder sebaris daripada Toyota yang digunakan dalam beberapa model ikonik, terutama Supra.

Enjin-enjin tersebut lahir dari zaman kegemilangan kereta sports Jepun sekitar tahun 1980 dan 1990-an. 

RB26 terkenal kerana digunakan oleh Skyline GT-R. Ia mencapai status lagenda kerana sifatnya yang tahan lasak. Jadi, tidak hairanlah jika RB26 sangat disukai oleh peminat tegar kereta, penala dan penggemar sukan bermotor.

Sebabnya, enjin tersebut mampu menaik taraf kuasa dengan cara bolt on, tanpa memerlukan modifikasi dalaman yang berlebihan.  

Sama seperti 1JZ atau 2JZ, tidak sukar untuk melihat RB26 yang berupaya menghasilkan kuasa lebih 1,000hp apabila firma-firma talaan memasukkan turbo bersaiz besar. Ini sekali gus menjadikannya cukup digemari oleh mereka yang ingin membina jentera drift atau drag berkuasa tinggi.

Pada peringkat awal, NISMO memulakan program ini dengan menghasilkan alat-alat ganti kecil seperti hos auxiliary enjin, kemasan getah badan dan pelbagai alat ganti chasis untuk generasi Skyline GT-R R32. Tahun lalu, program itu telah dikembangkan kepada generasi model Skyline R33 (1993-1998) dan R34 (1998-2002) 

Terbaharu, NISMO terus menyokong penghasilan alat ganti untuk Skyline R32 buatan tahun 1989 hingga 1994. Harus tahu bahawa usaha ini tidak terhad untuk menghasilkan semula alat-alat ganti penting enjin RB26 seperti blok pendek dan kepala selinder sahaja.

Malah, NISMO juga akan menghasilkan abah-abah dan pemasangan pam bahan api original. Untuk badan pula, bumbung dan panel-panel juga akan dihasilkan.

Buat masa sekarang, alat-alat ganti itu hanya boleh didapati menerusi pengedar-pengedar di Jepun dan beberapa pasaran terpilih. 

Dari segi harga pula, blok enjin RB26 yang baru berharga 170,000 yen (RM6,260). Manakala kepala selinder ditawarkan pada harga 187,000 yen (RM6,890). 

Google ads
Back to top button