Pandu Uji

PANDU UJI: CHEVROLET COLORADO FACELIFT 2016

Pasaran trak pikap saban tahun semakin meriah. Pada tahun 2012, segmen ini menerima pemain baru, Chevrolet menerusi model Colorado. Tak dinafikan, ia sebuah produk yang bagus namun datang pada masa yang salah.

Ketika itu Ford Ranger T6 diperkenalkan, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max yang telah diperbaharui. Berbeza dengan jenama popular, Chevrolet langsung tidak dikenali dalam pasaran trak di Malaysia.

colorado (1)

Penerimaan terhadap jenama ini semakin baik apabila pengedarnya Naza Quest mula melakukan promosi yang agresif. Walaupun baru mendarat di Malaysia, Colorado adalah antara jenama trak yag popular di Amerika. Ia pantas mencuri pasaran, yang mana disumbangkan oleh rekabentuk garang dengan logo Chevy besar pada jeriji-ala Amerika.

Pihak media telah dijemput menguji pandu model yang telah dinaiktaraf untuk tahun 2016. Model facelift ini masih mengekalkan pilihan 3 varian iaitu –  2.5L Duramax Turbo diesel-Fix Geometry Turbocharger (FGT), 2.8L Duramax Turbo-diesel Variable Geometry Turbocharger (VGT) dan enjin serba baharu, 2.5 Duramax Turbo-diesel Variable Geometry Turbocharger (VGT). Ia sudah mula dibuka untuk tempahan dan hanya akan dilancarkan secara rasmi beberapa hari lagi.

colorado (7)

Ini kali pertama saya memandu Colorado. Saya pun tak pasti kenapa tak terlintas langsung nak minta unit pandu uji sebelum ini dari pihak Naza Quest. Mungkin saya juga seperti anda semua yang dah terbiasa dengan jenama mainstream seperti Hilux, Ranger, Navara, Triton dan D-Max.

Model yang diuji pandu ini ialah varian tertinggi 2.8 yang dikenali dengan nama High Country. Pada hari ini setiap trak sudah ada varian dress-up masing-masing yang jelas untuk memikat pembeli urban. Membeli trak yang mungkin tak akan menjejak tayar ke laluan off-road di sepanjang hayatnya.

colorado (5)

Di lebuhraya dan jalanraya terbuka ternyata pikap 2 cab ini bertindak cemerlang. Ia sangat stabil dan menurut pihak Chevy, model facelift ini telah menerima pembaharuan yang sangat banyak. Sumbangan pengendalian ini datangnya dari cagak badan jenis sheer mount. Ia memegang badan kereta dan kebolehgerakan freeplay pada casis kini merangkumi sudut atas bawah dan kiri kanan.

Enjin 2.8 liter ini juga adalah yang paling berkuasa dalam kelasnya. Daya kilasnya setinggi 500Nm menjadikan setiap pergerakan trak ini cukup mudah dirasakan. Di laluan off road juga, tujahan kuasa boleh dirasakan hampir pada semua peringkat RPM.

colorado (8)

Tidak keterlaluan kalau saya katakan, trak-trak moden sekarang sudah mula berkarekter seperti sebuah kereta atau SUV bersaiz penuh. Ia selesa, berkuasa dan dalam masa yang sama, lasak. Kawalan traksi, ABS dan EBD, semuanya kini datang sebagai peralatan standard

Antara ciri yang diperbaharui pada trak ini ialah;

  • Stereng berkuasa elektrik
  • Remote Start
  • Lampu utma automatik
  • Auto rain sensors
  • park assist (depan dan belakang)
  • Forward collision alert
  • Tire pressure monitoring
  • Rim 18 inci
  • Lampu utama nyataan siang (LED DRL)

colorado (9)

Bahagian dalaman juga nampak kontemporari dan menarik – sekali lagi, kebanyakan trak moden dibekalkan kesemua ciri yang ada pada kereta. Ia persaingan pasaran yang sengit di mana setiap pengeluar cuba untuk berada di depan pesaing mereka.

Jika anda seorang pemandu kereta, ia mungkin susah untuk beralih-menukar gaya pemanduan dengan membeli sebuah trak. Akan tetapi jika anda pemandu sebuah SUV atau 4X4 atau trak, Colorado ini mungkin salah satu calon yang sesuai jika mahu menukar selera.

 

 

 

Google ads
Back to top button