
PELUMBA NEGARA DAPAT ‘LAMPU HIJAU’ BERAKSI DI SEPANYOL
Kerajaan memberi ‘lampu hijau’ kepada pelumba negara yang bakal menyertai Kejohanan Dunia MotoGP untuk beraksi di Jerez, Sepanyol.
Ketua pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, berita gembira itu dimaklumkan oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Namun pihaknya perlu menunggu surat rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu.
“Kelulusan diberikan kepada pelumba PETRONAS Yamaha SRT dari Malaysia dan pelumba negara dari pasukan lain yang terbabit dengan kejohanan dunia di Jerez itu.
“Kami masih menunggu surat rasmi daripada KBS. Sudah pasti ia akan dimaklumkan sekali mengenai syarat yang ditetapkan oleh pihak KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Pasukan PETRONAS Yamaha SRT, selaku pasukan MotoGP pertama Malaysia itu diwakili pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang berlumba dalam kelas Moto3 mewakili PETRONAS Sprinta Racing.
Kejohanan MotoGP Dunia 2020 membabitkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November. Manakala wujud potensi empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.
Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan dua minggu di Jerez, iaitu pada 19 dan 26 Julai.
Mengulas mengenai pasukannya, Razlan percaya pasukan PETRONAS Yamaha SRT sudah bersiap sedia dan memulakan latihan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Beliau memaklumkan Khairul Idham dijangka terbang ke Sepanyol pada 13 Julai ini.
“Untuk pelumba yang ada di Malaysia seperti Khairul Idham, beliau berlatih menggunakan jentera latihan di Litar Sepang. Pelumba MotoGP (Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo) pula berlatih di negara mereka,” katanya.
PETRONAS Yamaha SRT dibarisi Morbidelli dan Quartararo dalam kelas perdana MotoGP. Sementara pasukan Petronas Sprinta Racing diwakili oleh Xavi Vierge dan Jake Dixon (Moto2). Selain Khairul Idham bersama John McPhee dalam kelas Moto3. – Bernama
- BACA: JIKA MOTOGP 2020 BATAL, KAMI MAHU QUARTARARO UNTUK MUSIM 2021 – RAZLAN
- BACA: KENAPA RIDER MOTOGP LUNJUR KAKI SEMASA AMBIL SELEKOH? SIAPA YANG MULA DULU DAN SEMUA ORANG TIRU?
- BACA: DORNA BERI BANTUAN PRIHATIN NASIONAL KEPADA PASUKAN SATELIT MOTOGP, MOTO 2 & MOTO3
- BACA: MOTOGP BATAL, PENAJA BOLEH TAK BAYAR GAJI PELUMBA