
TAK MAMPU SEWA AMBULANS, BAWA JENAZAH GUNA PIKAP
Tidak mampu menyewa ambulans menyebabkan satu keluarga di Buleleng, Bali membawa jenazah menggunakan pikap.
Rakaman gambar berkenaan menjadi viral di media sosial selepas ia dihantar di laman Facebook Humas (Buleleng Sosial Community) dengan tujuan untuk mengutip derma bagi perbelanjaan hospital keluarga miskin terbabit.
Dalam hantaran itu, kelihatan jenazah yang dikenali sebagai Gede Seni terbaring di bahagian pikap trak dan dilitupi selimut bercorak garis hitam dan putih.
Difahamkan, gambar berkenaan dirakam ketika pikap sedang berhenti di Jalan Penarukan, Singaraja malah jenazah terbabit ditemani kedua ibu bapa Gede.
Selain itu, pemilik akaun turut memaklumkan keadaan keluarga Gede yang kurang berkemampuan sehingga tidak boleh menjelaskan kos rawatan mencecah belasan juta rupiah.
Isteri Gede, Ketut Suryani, 35, mengizinkan jenazah suaminya dibawa menggunakan pikap dari hospital.
“Tidak ada pilihan lain berikutan keluarga tidak mampu membiayai sewa ambulans berjumlah 800,000 rupiah.
“Yang urus jenazah suami saya di hospital hanya mentua. Mereka tidak tahu mahu minta bantuan daripada siapa.
“Di samping itu, sewa ambulans di hospital cukup mahal dan kami tidak punya wang sebanyak itu,” katanya.
Selain itu, keluarga berkenaan juga tidak mampu membayar bil rawatan berjumlah 17 juta rupiah (RM4,800).
Menurutnya, suaminya dibawa ke hospital swasta di Buleleng pada 10 Januari lalu berikutan batuk dan sesak nafas.
Setibanya di hospital, Gede disahkan mengalami jangkitan paru-paru. – agensi
- BACA: AZNOM PALLADIUM. GABUNGAN PELIK TRAK PIKAP, SUV DAN SEDAN
- BACA: GWM LANCAR TRAK PIKAP CANNON DI AUSTRALIA. HARGA MURAH, SPECS LAGI PADU DARIPADA HILUX, RANGER & D-MAX
- BACA: FARIZON FX – TRAK PIKAP ANEH BUATAN GEELY. GUNA PLATFORM BOYUE PRO (PROTON X70)
- BACA: HENNESSEY MAMMOTH 6X6 PIKAP TRAK PALING POWER. 1200 HP, 3 UNIT SAHAJA