Buletin

PERODUA D66B BAKAL DIPERKENALKAN APRIL INI

Laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa Perodua bakal melancarkan model baharu Perodua D66B pada April ini.

Pendedahan itu dibuat oleh Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz ketika mengulas mengenai penguasaan Sime Darby dalam pasaran automotif tempatan.

“Kehadiran Sime Darby dalam pasaran automotif tempatan akan diperluaskan ke pasaran pertengahan menerusi jenama Toyota dan melalui Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA),” katanya.

“Selain itu, Sime Darby berkemungkinan mendapat manfaat daripada pelancaran baharu Perodua D66B dan Toyota Yaris Cross yang dijangka diperkenalkan menjelang April ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Memetik laporan dari Paultan, model baharu berkenaan digelar sebagai ‘Perodua Nexis‘ dan nama tersebut telah didaftarkan oleh Perodua di MyIPO.

Kereta baharu itu diletakkan sebagai SUV segmen B dan akan dilengkapi dengan pelbagai ciri, termasuk ADAS serta dijangka diberikan tanda harga sekitar RM 73,000.

Pada November tahun lalu, kilang asal telah berhenti mengeluarkan Aruz untuk memberi laluan kepada kereta baharu itu.

Tiada perincian didedahkan setakat ini namun ia bakal dilengkapi brek tangan elektronik, kamera undur serta skrin infohibur dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay.

Secara mekanikal, walaupun belum ada pendedahan, ia dijangka akan terus menggunakan enjin 1.5L Dual VVT-i naturally aspirated dan dipadankan bersama kotak gear D-CVT, sama seperti versi Indonesia.

Tambahan, D66B juga dijangka menjadi model hibrid pertama Perodua.

Dengan jangkaan harga sekitar RM73,000, D66B atau ‘Perodua Nexis’ ini bakal bersaing dengan Honda HR-V, dan SUV popular di Malaysia, Proton X50. – Automachi

Google ads
Back to top button