Modifikasi

PERODUA MYVI RACY

Perodua Myvi memang produk paling penting Perodua selepas Kancil. Kancil dianggap penting sebab ia membuka ruang pasaran baharu di Malaysia.

Ia juga memberikan sebuah kenderaan beroda empat kepada golongan berpendapatan rendah yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada motosikal sebagai mode pengangkutan.

Myvi pula ialah produk Perodua yang berjaya menumpaskan Proton sebagai peneraju jualan kereta terbesar di Malaysia. Sekali gus membuatkan model ini sebagai model kereta paling popular di Malaysia.

Formula menggunakan platform sebuah kereta hatchback yang mempunyai ruang dalaman luas dan enjin berteknologi moden menjadi faktor utama kejayaan Myvi. Apatah lagi ia berkongsi platform dengan model Toyota dan Daihatsu di Jepun.

Setelah hampir 10 tahun diperkenalkan dengan dua generasi, Myvi sehingga kini masih menjadi kereta pilihan rakyat Malaysia. Myvi model pertama kini boleh dibeli dengan harga yang agak rendah di pasaran kereta terpakai. Kereta yang dahulunya dibuat kereta keluarga kini menjadi modal untuk bahan modifikasi.

Sewaktu kami berada di Sabah, kami berjaya berjumpa dengan sebuah Myvi yang sudah disumpah sepenuhnya menjadi saudara Jepunnya. Macam kereta-kereta keluaran Perodua sebelum ini, fenomena tersebut adalah perkara biasa. Semua orang tahu, barang-barang JDM Daihatsu atau Toyota boleh dimasukkan tanpa perlu banyak modifikasi.

Pemilik Myvi ini ialah Larry Lam dari Sandakan. Memiliki model Myvi tahun 2010, Larry lebih berminat untuk menjadikan keretanya sebuah model Passo atau Boon keluaran Jepun yang berkongsi cesi dan enjin sama.

Sebab itulah, Larry masih mengekalkan enjin asal iaitu enjin K3VE 1,300cc dengan DVVT. Enjin sama yang digunakan oleh Passo dan Boon di Jepun. Kiranya spesifikasi enjin ini sama dengan model JDM.

Satu-satunya modifikasi yang dibuat ialah menggantikan penapis udara asal dengan penapis udara jenis pod terbuka K&N. Baru la ada bunyi “srootttt” sikit masa tarik minyak, ye tak?

Kotak gear Myvi pun dikekalkan standard. Untuk pengetahuan anda, Myvi  menggunakan kotak gear empat kelajuan automatik yang cukup senang untuk diselenggara.

Bagi menghasilkan sedikit bunyi yang garang, Larry mengubah suai sistem ekzos buatan custom daripada keluli tahan karat, bermula dari paip tengah sehinggalah ke peredam bunyi di belakang.

Sesiapa yang pernah dengar bunyi ekzos Myvi yang sudah diubah suai ini mesti tahu bahawa enjin K3VE sebenarnya mampu menghasilkan bunyi ekzos yang sedap didengar. Deruman nota rendah yang jelas tanpa menyakitkan telinga.

Untuk pilihan bodykit, Larry memilih set lengkap Toyota Passo Racy untuk disalin terus. Kit yang menjadi kegilaan ramai peminat Myvi ini datang lengkap dengan bampar depan, fender, lampu depan, skirting sisi dan bampar belakang.

Bonet depan dengan “hidung” burung kakak tua itu ialah bonet OEM Daihatsu Boon X4 – satu-satunya model keluarga ini yang mendapat enjin turbo dari kilang. Larry juga berjaya menambah lagi kehebatan bodykit keretanya dengan mendapat set spoiler belakang TRD gentian karbon yang sememangnya aksesori TRD asli untuk model Passo.

Untuk bahagian dalam pula, Myvi yang asalnya datang dengan kabin agak membosankan telah ‘diJepunkan’ dengan penggunaan barang-barang asli Toyota Passo.

Rasanya aksesori yang paling menarik perhatian pastinya papan pemuka yang disalin kepada papan pemuka Passo yang datang dengan tuil gear jenis kolum. Walaupun papan pemuka ini nampak 100 peratus berbeza dari apa yang diberi oleh Perodua, sebenarnya pemasangannya agak mudah kerana ia berkongsi tapak yang sama.

Dengan papan pemuka dipasang kemas, Larry boleh menggunakan set tempat duduk lengkap Passo yang menampilkan tempat duduk depan jenis bench. Tempat duduk ini hanya boleh digunakan kalau dah guna papan pemuka Passo dengan gear jenis kolum.

Sebab tempat gear asal pada lantai kereta tidak lagi digunakan. Jadi ruang itu diambil alih oleh tempat duduk jenis ini. Aksesori JDM lain ialah stereng sport jenis Momo yang berasal daripada Passo Racy dan pedal kaki TRD yang asli. Kemudian, Larry memasang gugusan meter Blitz yang berhampiran bumbung dan sebuah turbo timer  A’PEXi.

Selesai dengan ubah suai JDM, Larry sekarang berfikir macam mana nak bagi Myvi dia nampak lagi gempak. Merendahkan kereta sehingga menyapu jalan raya memang nampak cantik, tapi faham-faham sahajalah dengan keadaan permukaan jalan raya di sini.

Jadi Larry berfikiran macam orang Jepun dan geng Chicanos. Untuk sistem gantungan Myvi, Larry menggunakan sistem suspensi jenis beg udara. Sistem air ride yang Larry jumpa di kedai potong ini memerlukan sedikit ubah suai sikit untuk dimuatkan. Sistem pemampat udaranya disimpan di ruang bonet belakang.

Apabila sistem direndahkan sepenuhnya, rim-rim Volk Racing TE37 berdiameter 17 inci memenuhi ruang arca roda dengan padat. Satu lagi ubahsuai yang besar ialah sistem brek. Anda semua tahu yang di Jepun pun, tidak ada versi yang meggunakan brek cakera pada roda belakang. Apa yang Larry buat, dia berjaya membuat R&D sendiri dengan mengahwinkan sistem brek Honda Civic siri FD kepada Myvi miliknya.

Myvi ni mungkin tak boleh blah laju, tapi dari segi gaya, Myvi ini memang mampu menarik perhatian orang ramai. Ubah suai JDM sememangnya tak akan lapuk ditelan zaman. Saya yakin, trend ini akan kekal di hati peminat kereta Malaysia untuk tempoh yang panjang.

GALERI

 

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button