
PERSAINGAN EV CHINA SEMAKIN GILA! THAILAND TERTEKAN, PELAN PENGELUARAN TEMPATAN TERGUGAT
Persaingan luar biasa dalam industri kenderaan elektrik (EV) China kini mula memberi kesan ketara ke atas pasaran utama Asia Tenggara, iaitu Thailand.
Saingan antara jenama semakin memuncak, dengan syarikat gergasi seperti BYD terus mendominasi, sekali gus menyukarkan pemain kecil seperti Neta untuk kekal bertahan dalam ekosistem yang semakin kompetitif.
Neta, antara syarikat EV pertama dari China yang menembusi pasaran Thailand pada 2022, kini berdepan kesukaran memenuhi syarat ketat skim insentif kerajaan Thailand.
Di bawah skim itu, pembuat kenderaan diberi pengecualian cukai import, tetapi perlu memastikan jumlah pengeluaran tempatan sepadan dengan jumlah import menjelang 2024.
Namun, penurunan jualan dan keadaan kredit yang ketat memaksa pengeluar kenderaan memohon pelonggaran, dan sasaran produksi 2024 dilanjutkan ke tahun ini.

Bagaimanapun, Neta dilaporkan gagal mencapai jumlah pengeluaran yang ditetapkan. Menurut pegawai Jabatan Eksais Thailand, Panupong Sriket, sebahagian bayaran insentif kepada Neta telah digantung.
Beliau turut mendedahkan bahawa 18 pengedar Neta telah memfailkan aduan menuntut lebih 200 juta baht (kira-kira RM6.17 juta) dalam bentuk hutang tertunggak, termasuk janji yang tidak ditepati berkaitan pembangunan bilik pameran serta perkhidmatan selepas jualan.
“Saya berhenti buat pesanan sejak September. Rasa ada yang tak kena,” kata Saravut Khunpitiluck, pemilik salah satu pusat pengedar. Beliau kini mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu.
Situasi semakin genting apabila syarikat induk Neta, Zhejiang Hozon New Energy Automobile, dilaporkan memfailkan kebankrapan di China bulan lalu.
Dominasi BYD dan Kemerosotan Neta
Tahun lalu, Neta berjaya meraih sekitar 12 peratus daripada pasaran EV Thailand. Namun, ketika pemain besar seperti BYD menguasai hampir separuh pasaran (49 peratus), tekanan semakin meningkat ke atas jenama kecil.
Kini, pasaran EV Thailand didominasi oleh jenama China yang menguasai lebih 70 peratus keseluruhan, dengan jumlah pemain meningkat kepada 18 jenama pada tahun lalu.
Namun, prestasi Neta merosot dengan ketara. Sepanjang lima bulan pertama 2025, pendaftaran baharu kenderaan Neta merosot sebanyak 48.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dengan penguasaan pasaran susut kepada hanya 4 peratus.
“Pencapaian Neta mencerminkan rapuhnya jenama EV dari China yang bukan di barisan hadapan,” ujar penganalisis automotif Counterpoint Research, Abhik Mukherjee.
Beliau menegaskan bahawa persaingan harga yang sengit dan kelebihan skala pengeluar besar menjadikan jenama kecil sukar bertahan.
Neta kini menawarkan tiga model di Thailand, dengan model asas Neta V-II Lite berharga sekitar 549,000 baht (RM16,924) sebelum diskaun.
Sebagai perbandingan, BYD Dolphin, antara model paling popular, dijual pada harga permulaan 569,900 baht.

Strategi Harga dan Tekanan Luar
Menurut Rujipun Assarut dari KResearch, sebahagian jenama China telah menurunkan harga sehingga lebih 20 peratus bagi merangsang permintaan. Namun, strategi potongan harga ini, yang turut berlaku di China akibat lambakan bekalan, kini mempengaruhi pasaran serantau seperti Thailand.
Tiga tahun lalu, Thailand mengumumkan rancangan besar untuk menjadikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan pengeluaran automotifnya sebagai EV menjelang 2030.
Sejak itu, lebih AS$3 bilion (kira-kira RM14 bilion) pelaburan telah masuk ke negara itu, termasuk daripada Neta. Namun, kesukaran yang dihadapi Neta kini menjadi amaran penting kepada pembuat dasar di Thailand.
Disember lalu, Lembaga Pelaburan Thailand meminda garis masa pengeluaran tempatan untuk mengelakkan lambakan dan perang harga yang lebih parah.
Kini, jumlah kenderaan perlu dikeluarkan secara tempatan mestilah 1.5 kali ganda jumlah yang diimport dari Februari 2022 hingga Disember 2023.
Menurut kenyataan rasmi, Lembaga Pelaburan Thailand memaklumkan bahawa isu yang dihadapi Neta adalah khusus kepada kedudukan kewangan syarikat induknya di China, dan tidak memberi kesan besar kepada industri EV Thailand secara keseluruhan.
Kerajaan Thailand, katanya, tetap komited menyokong pertumbuhan sektor EV dan teknologi berkaitan.
Bagaimanapun, tekanan luar seperti ketegangan geopolitik dan potensi tarif import yang tinggi menambah beban kepada industri ini.
Wakil Persatuan Kenderaan Elektrik Thailand, Siamnat Panassorn, berkata isu Neta tidak berpunca daripada dasar negara, tetapi lebih kepada kelemahan pengurusan syarikat itu sendiri.
- BACA: ERC 2025 – GILIRAN PEMANDU VETERAN TUAN RUMAH GIANDOMENICO BASSO UNTUK MENANG
- BACA: PERBAHARUI INSURANS KERETA MELALUI POLICYSTREET DAN DAPATKAN RM100 KREDIT TOUCH ’n GO eWALLET
- BACA: JAGUAR HILANG ARAH? JUALAN MENJUNAM 98 PERATUS SELEPAS IKLAN ‘BERANI’ TANPA KERETA!
- BACA: GWM MALAYSIA CATAT PERTUMBUHAN 20.3 PERATUS, HAVAL H6 HEV JADI TARIKAN UTAMA








