Motosikal

PETRONAS LANCAR MINYAK ENJIN MOTOSIKAL SPRINTA DENGAN ULTRAFLEX

Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) hari ini melancarkan rangkaian baru minyak motosikal yang dikenali sebagai Petronas Sprinta dengan UltraFlex.

Dengan pengenalan minyak baharu itu, semua jenama dan produk minyak pelincir Petronas sebelum ini tidak lagi dijual kepada orang ramai. Dengan teknologi terkini, rangkaian minyak enjin itu dijangka dapat memenuhi keperluan pengguna motosikal di Malaysia.

Mahu menjangkau pengguna yang lebih luas, PLMM menawarkan pilihan minyak enjin yang luas terdiri daripada varian sintetik penuh, semi-sintetik dan mineral. Harganya pula bermula dari serendah RM15 hingga RM70 seliter.

Petronas Sprinta dengan UltraFlex dikatakan menawarkan perlindungan sehingga 41 peratus lebih tinggi berbanding piawaian industri. Sekali gus dapat meningkatkan maklum balas enjin dan membantu mengurangkan tekanan enjin akibat ditunggang setiap hari.

Tekanan terhadap enjin berlaku akibat stres mekanikal yang melampau serta suhu dalaman yang boleh mencecah 33 peratus lebih tinggi berbanding enjin kereta. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, ia berpotensi menyebabkan enjin menjadi bising dan motosikal terasa berat.

Teknologi UltraFlex juga menawarkan kawalan mendapan enjin yang terbaik. Jadi, penunggang tidak perlu bimbang dengan kondisi enjin motosikal masing-masing.

Populasi motosikal di Malaysia kini mencecah 11.6 juta unit dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak empat peratus.

Minyak enjin itu sudah berada di pasaran tempatan sejak awal bulan ini. Menerusi produk Petronas Sprinta dengan UltraFlex, Petronas mensasar untuk meningkatkan penguasaan pasaran minyak pelincir motosikal tempatan kepada tiga peratus daripada satu peratus sekarang pada tahun ini.

BACA: PETRONAS DURANCE SERLAHKAN PENAMPILAN PASUKAN FORMULA 1 MERCEDES AMG PETRONAS

BACA: MINYAK PELINCIR PETRONAS SYNTIUM KHAS UNTUK KERETA PROTON 

Google ads
Back to top button