
PHEV PERTAMA MAZDA CX-60 BERKUASA 300HP, UNTUK PASARAN EROPAH
Mazda baru-baru ini mendedahkan foto teaser model plug-in hybrid terbaharunya CX-60 untuk pasaran Eropah. Bakal melakukan debut pada 8 Mac depan, ia akan menjadi model PHEV pertama Mazda dan salah satu daripada empat SUV baharu yang diperkenalkan dalam tahun 2022 hingga 2023.
Foto teaser itu hanya menunjukkan bahagian hadapan sebelah kini yang memaparkan rekaan lampu agresif, gril bersaiz besar dan corong pengambilan udara yang sama seperti CX-50.
PHEV itu akan menggabungkan rangkaian kuasa enjin petrol empat silinder bersesaran 2.5 liter dengan satu motor elektrik.
Mampu menghasilkan kuasa lebih 300hp, Mazda memberitahu jentera itu menawarkan keseronokan memandu dalam apa jua kondisi pemanduan. SUV berkenaan juga mungkin akan hadir dalam versi pacuan empat roda.
Selain PHEV, CX-60 bakal ditawarka dengan enjin petrol enam silinder Skyactiv-X dan Skyactiv-D (diesel) bersama sistem milh-hybrid berkapasiti 48V.
CX-60 hadir dengan kabin lima tempat duduk dengan CX-80 yang lebih besar (7 tempat duduk) dijadual diperkenalkan nanti. Kedua-dua model itu disasarkan kepada pasaran Eropah dan Jepun. Manakala model CX-70 dan CX-90 yang lebih lebar pula adalah untuk pasaran Amerika dan negara lain.