,
Artikel Pilihan

PILIHAN SUV SEGMEN C. BANYAK PILIHAN, MATA PUN DAH KELABU

Baru baru ini UMW Toyota Malaysia telah memperkenalkan RAV4 serba baru pada pasaran Malaysia bagi bersaing dalam SUV/Crossover segmen. Ia dibangunkan di atas platform TNGA-K yang juga merupakan platform bagi Toyota Camry XV70 serba baru. RAV4 berada dalam kategori segmen C menjadikan persaingan SUV dalam segmen tersebut semakin sengit

dengan harga RM 196 ribu untuk varian 2000cc dan RM 215 ribu bagi varian 2500cc menjadikannya agak sukar untuk dicapai oleh kebanyakan pemandu. Nak salaHkan Toyota tak boleh juga sebab ia dibekalkan dengan pilihan enjin Dynamic Force serba baru serta dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan bagi varian 2500cc.

Spesifikasi RAV4 memang A++ sebab ia datang dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense, 7 beg udara dan pelbagai ciri moden serta ketahanan yang dikaitkan dengan jenama Toyota. Harga yang diletakkan agak munasabah memandangkan ia diimport CBU daripada Thailand, jadi ada cukai tambahan yang dikenakan.

Panjangnya ialah 4600mm, lebar 1855mm, tinggi 1685 mm serta jarak antara roda 2690mm. Jadi ia leboh besar dari SUV penanda aras yang bermaharaja sebelum ini iaitu Honda CR-V. Kami senaraikan secara ringkas SUV/crossover yang dijual dalam segmen C untuk rujukan anda. Mana tahu ada rezeki tergolek boleh beli kan.

1. Mazda CX-5 – memang tak payah disebut lagi kerana Mekanika memang peminat utama Mazda. Ia ditawarkan dari harga serendah RM 137 ribu bagi varian 2000cc dan harga paling mahalnya ialah RM 181 ribu bagi varian 2500cc Turbo. Kelebihan utama CX-5 ialah teknologi SkyActive yang digunakan pada enjin, cesi dan transmisi menghasilkan pemanduan yang mengasyikkan.

Nak lagi best Mazda menawarkan servis percuma selama 5 tahun. Cuma kekurangan Mazda ialah ruang kaki penumpang belakang dan ruang bahu terasa selesa hanya untuk 2 penumpang.

2. Mazda CX-8– ia merupakan pilihan sekiranya anda mahukan crossover segmen C dengan pilihan 6 atau 7 tempat duduk yang disusun dalam 3 barisan. Ia ditawarkan dengan 2 pilihan enjin samaada 2500cc petrol ataupun 2200cc turbodisel bagi varian premium.

Harganya bermula dari RM 179 ribu bagi varian terendah ke RM 214 ribu bagi varian tertinggi.

3. Mazda CX-30 – merupakan crossover Mazda yang diasaskan daripada model Mazda 3 yang baru. Dari segi fizikal ia leboh besar dari Mazda CX-3 (segmen B) namun kecil sedikit berbanding dengan Mazda CX-5. Ia ditawarkan dengan enjin 2000cc ataupun 1800 disel. Dengan harga permulaan Rm 143 ribu dan diimport CBU dari Jepun agak susah untuk tidur waktu malam.

4. Proton X70 – merupakan crosover kebangsaan Malaysia paling popular ketika ini dengan harga permulaan RM 95 ribu dan RM 122 ribu bagi versi premium. Versi kemaskini yang dibuat menyaksikan Proton menggunakan transmisi dwi-klac bagi meningkatkan lagi kecekapan penggunaan bahan api.

5. Subaru Forester – mungkin anda mahukan satu kelainan sikit, boleh cuba pandu uji Subaru Forester yang datang dengan enjin boxer 4 silinder 2000cc yang dipadankan dengan transmisi CVT. Bagi pemanduan offroad dan juga cengakam yang padu di jalan ia dipadankan dengan teknologi X-Mode.

Nak masuk laluan lecak tak payah risau la. Versi permulaan ditawarkan dengan harga RM 149 ribu dan versi premium dijual pada harga RM 169 ribu.

6. Nissan X-Trail Hybrid – penulis memilih varian hibrid untuk dimasukkan dalam senarai kerana ia merupakan crossover hibrid. Keseluruhan sistem menawarkan 179 kuasa kuda, 200Nm tork, penggunaan petrol 16.1 km per liter (berat crossover ini ialah 1641kg) , Nissan Intelligent Mobility (termasuk adaptive auto cruise) pada harga RM 160 ribu.

7. Hyundai Tucson – mungkin anda bosan dengan jenama Jepun mungkin boleh mencuba crossover buatan Korea iaitu Tucson. Pilihan penulis ialah varian 1.6T-GDI yang menghamburkan kuasa 175 kuasa kuda dan 265Nm tork. Dipadankan dengan transmisi DSG ia memang memberikan keseronokan pemanduan, tapi operasi penukaran gear dibuat dengan sedikit gopoh, rasa kurang lancar.

8. Volvo XC-40– secara jujurnya ia merupakan sebuah crossover yang hensem bergaya, dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan dan enjin 2000cc turbo yang menghasilkan kuasa 252 kuasa kuda dan 350Nm tork. Dengan padanan pembesar suara Harmon Kardon, kemasan gaya Scandinavian ia terasa berbaloi dengan nilai RM 256 ribu.

9. Kia Sportage – yang menarik perhatian penulis ialah gaya rekaannya mirip kepada Porsche Cayenne dan varian GT Line AWD yang menawarkan enjin 2000cc turbodisel. Ia menghasilkan 183 kuasa kuda dan 400Nm tork, sudah cukup untuk membuatkan anda ketagih dengan kuasa turbo disel. Pada harga RM 145 ribu, mungkin anda perlu cuba pandu uji. Mana tahu jenama Kia mampu menambat hati anda.

10. Mitsubishi Outlander -dipadankan dengan enjin pilihan 2400cc ataupun 2000cc dengan transmisi CVT ia menawarkan ruang untuk 7 orang dengan susunan 2-3-2. Antara kekuatan Outlander yang lain ialah ia ditawarkan dengan 3 pilihan sistem iaitu 4WD Eco, 4WD Smart dan 4WD Lock

11. Volkswagen Tiguan – dikuasakan dengan enjin 1400cc turbo yang menghasilkan 148 kuasa kuda dan 250Nm tork. Ia dipadankan dengan transmisi DSG 6 kelajuan sistem klac basah menawarkan penggunaan bahan api sekitar 14.9km per liter. Pada harga RM 165 ribu ia menawarkan sistem park assist, penyaman udara 3 zon, dan juga lampu depan LED.

Berita baik untuk peminat Volkswagen, Tiguan ditawarkan dengan tawaran menarik termasuk bayaran percuma selama 6 bulan. OK sangat tue.

12. Lexus UX 200 -katakanlah anda mahukan sebuah crossover buatan Jepun tapi ia perlu cukup mewah, canggih dan boleh diharap. Jawapannya ialah Lexus UX 200. Pada harga RM 244 ribu ia merupakan jawapan kepada pemilik yang mahukan sebuah crossover premium dan lain daripada yang lain. Walaupun ia hanya menawarkan 169 kuasa kuda dari enjin 2000cc VVTiE, namun banyak ciri-ciri mewah dan menarik yang ditawarkan.

13. Honda HRV – satu ketika dulu ia merupakan King bagi segmen crossover dan menjadi simbol orang berduit. Ye la, harganya sekarang ditawarkan RM 151 ribu bagi varian terendah dan RM 176 ribu bagi varian paling mahal. Semuanya dikuasakan dengan enjin L15B7 turbo yang menghasilkan 190 kuasa kuda dan 243 Nm tork. Ciri Honda Sensing yang ditawarkan merupakan satu kelebihan berbanding pesaingnya yang lain.

Ok ada 13 pilihan menarik crossover untuk pilihan pembaca. Mungkin hari ini anda hanya mampu membaca artikel ini sahaja. Tapi mana tahu satu hari nanti anda diberikan rezeki yang banyak, masa tu terus boleh beli tak payah pilih dah.

Tags
Google ads
Back to top button