
PORSCHE DESIGN POPULARKAN JAM LATAR BELAKANG HITAM – PORSCHE BUKAN HANYA TERER BUAT KERETA
Siapa tak kenal Porsche, kereta sports terulung yang boleh digunakan setiap hari. Ia merupakan merupakan hasil rekaan Ferdinand Alexander Porsche yang menempa nama dengan rekaan 911 yang ikonik. Tapi sebagai seorang pereka yang kreatif, rekaan beliau tidak hanya terhad kepada dunia automotif.

Bersama dengan saudara beliau Hans-Peter yang sama-sama mengasaskan Porsche Design, Ferdinand juga mempunyai rekaan lain yang tak kurang hebatnya. Ia merupakan tugasan daripada syarikat pengeluar motokar Porsche yang mahukan sebuah model jam tangan eksklusif untuk pekerja-pekerja pengeluar kereta sports terkenal itu.
Mereka berdua lebih gemar mencipta peralatan yang mempunyai ketepatan yang tinggi yang bukan sekadar aksesori perhiasan. Untuk itu mereka memutuskan untuk mereka sebuah jam yang mudah untuk dibaca sepanjang hari.
Ferdinand memilih rekaan dial jam yang berwarna hitam pudar (matte black) yang jauh berbeza dari dial jam berwarna putih yang cukup popular pada zaman datuk nenek kita dahulu. Angka-angka jam menggunakan warna yang cukup kontras, jarum minit berwarna kuning dan jarum penunjuk jam berwarna merah. Ia menjadikan jam ini lebih mudah dibaca walaupun dalam keadaan kurang pencahayaan.
Kini kebanyakan didatangkan dengan latar belakang hitam tapi satu ketika dahulu mana ada. Terbukti ia satu langkah yang tepat dan lahirlah model jam yang dinamakan Chronograph l.
Ia menjadi sangat popular di kalangan pekerja dan Porsche membuat keputusan untuk menghasilkannya dan dijual melalui pengedar mereka. Dari sana ia menjadi popular di kalangan pelanggan Porsche, pelakon-pelakon ternama dan pemandu kereta lumba. Pengaruh nama Porsche dan pelanggan-pelanggan mereka inilah yang menaikkan nama jam ini sehingga menjadi ikon rekaan yang terkenal.
Hari ini, Chronograph l sangat popular di kalangan pengumpul dan Porsche berhasrat untuk mengeluarkan kembali model ini dan dinaiktaraf. Kalau sebelum ini ia dihasilkan menggunakan besi kini ia bakal digantikan dengan material titanium yang lebih tahan kakisan.
Kredit Carscoops.com







