
HAFIZH CATAT POSISI KE-15 DALAM SESI UJIAN DI LOSAIL. JANGKA SAINGAN SENGIT HUJUNG MINGGU INI
Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menjangkakan dia bakal berdepan cabaran sengit dalam pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Qatar hujung minggu ini.
Walaupun perlumbaan kelas premier dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19, saingan Moto2 dan Moto3 akan diteruskan di litar Losail mengikut jadual.
Sedia maklum bahawa Hafizh yang kini mewakili pasukan Aspar Team kembali ke kelas Moto2 mulai musim 2020.

Berbekalkan pengalaman sebelum ini, Hafizh menunjukkan prestasi memberangsangkan pada sesi ujian pra-musim di Litar Antarabangsa Losail minggu lalu.
Dia berjaya mencatat pusingan terbaiknya, 1 minit 59.477 saat untuk berada di kedudukan ke-15 daripada 28 pelumba. Masa itu hanya 0.857 saat di belakang pelumba pertama, Jorge Navaro (1:58.520 saat). Sementara rakan sepasukan Hafizh, Aron Canet berjaya menempatkan diri di posisi ketuju dengan masa 1:59.060. saat.
“Saya tidak sabar untuk berlumba selepas rehat musim sejuk. Saya mempunyai kelajuan yang baik, tetapi saya yakin kami boleh menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua hari sebelum hari perlumbaan GP Qatar.
“Pasukan sudah berusaha gigih. Kami tidak ada banyak pengalaman dengan chasis Speed Up. Namun kami dapat memahaminya dengan baik dan akan lebih kompetitif musim ini,” kata Hafizh. FOTO: Motogp.com