" "
Modifikasi

PROTON SAGA ENJIN ERRR….V8? YA BETUL. V8!!!

Kalau anda peminat rancangan berunsurkan automotif, mesti perasan banyak peminat kereta dari negara Barat cukup gemar membaiki atau mengubahsuai kereta sendiri di dalam garaj di rumah mereka.

Sebab itu di sana, rancangan TV ataupun di saluran Youtube banyak program mengajar orang membaiki atau mengubahsuai kereta mereka sendiri. Mungkin didesak dengan kos upah yang mahal dan juga mungkin di sana gemarkan cabaran.

Semangat kerja DIY ni agak kurang bagi orang Malaysia, tapi mungkin juga sebab orang kita, terutamanya yang tinggal di bandar besar tak mampu ada rumah yang mempunyai garaj atau laman yang luas dan dalam masa yang sama, upah bengkel kita masih murah.

v2

Tapi kalau anda seorang mekanik yang ada banyak masa dan kawasan rumah yang besar, ada potensi untuk menghasilkan hasil kerja begini. Kerja gila. Proton Saga lama dengan enjin V8? Serius eh?

Projek Lie dari Rawang ini tak salah kalau saya katakan, satu projek “rat rod” yang tulen. Lie banyak menggunakan barang-barang yang murah atau terbuang untuk menghasilkan satu projek yang cukup unik.

Asas projek Lie bermula dengan model sebuah Proton Saga 1.3S keluaran tahun 1989 yang boleh dibeli dengan harga yang cukup murah. Kebanyakan orang akan mengubahsuai Saga ni dengan enjin 4G63 VR4 ataupun enjin Evo, tapi ubahsuai begitu dah ramai yang buat dan harga half-cut enjin-enjin itu pun dah capai harga yang agak mengarut, Lie fikirkan sesuatu yang berbeza.

v4

Demam “American muscle” yang dibawa oleh rancangan TV luar negara benar-benar berjangkit pada Lie dan konsep ni dijadikan inspirasi oleh beliau. Begitu pun enjin buatan Amerika agak susah atau mustahil dibeli di sini.

Kalau ada pun mestilah muntah darah dia punya mahal. Jadi, jalan keluarnya ialah pilih enjin V8 Jepun. Adakah Toyota 1UZ FE macam Escort kelmarin?? Oh, tak lah, kita nak yang lagi rare dari Toyota, VH41DE.

Enjin VH41DE ini berasal dari model Nissan Cima. Enjin V8 terkecil dari keluarga enjin VH Nissan ni bersesaran 4100cc dengan sistem aci sesondol berkembar dan 48 injap, membuatkannya jauh lagi canggih dari segi teknologi berbanding enjin V8 buatan Amerika.

v3

Tapi anda mesti tertanya-tanya, macam mana enjin V8 ni nak dimuatkan ke dalam Saga? Dah la enjin ni jenis pacuan roda belakang, macam mana nak masuk ke cesi kereta pacuan roda depan?

Lie mengambil keputusan untuk menjadikan kereta Saga ni kereta pacuan roda belakang dengan enjin V8 tadi dimasukkan secara menegak di dalam ruang enjin Saganya. Teori yang mudah tetapi cabarannya bukan calang-calang.

Sebelum enjin ni dimuatkan, Lie memastikan ruang enjin tersebut mempunyai ruang yang cukup. Satu set cagak enjin buatan custom telah dibina untuk enjin ni dan kerangka untuk radiator telah diubahsuai untuk memastikan enjin ni mempunyai kelegaan ruang yang cukup.

v13

Radiator dari model Nissan AD Resort diubahsuai masuk untuk menyejukkan enjin ni dan memandangkan enjin V8 ni ialah “enjin lantai”, sistem suntikan bahanapi elektroniknya tak dapat digunakan.

Jadi, Lie mengubahsuai sistem suapan petrol enjiin ni dengan membina sebuah manifold kemasukan buatan custom untuk sebuah karburator Solex 4 barrel yang menggantikan sistem suntikan bahanapi. Yeah. olskool!

Tangki minyak asal dipasangkan dengan sebuah pam bahanapi dari enjin Nissan RB20 yang lebih berkuasa dari pam bahanapi asal Saga. Sebuah penyejuk pelincir yang berasal dari enjin Perdana V6 jugak dipasang kepada enjin ni.

Paling gempak ialah sistem ekzosnya. Salah satu keseronokan memandu kereta bernadi enjin V8 ialah bunyinya yang cukup unik. Untuk memaksimakan bunyi enjin V8, Lie membina sistem ekzos buatan custom yang bermula daripada manifold dan paip saluran terus yang keluar dari bahagian depan kereta.

v9

Satu lagi cabaran yang dihadapi ialah memilih kotak gear. Memandangkan Saga ialah kereta pacuan roda hadapan, Lie terpaksa mengubahsuai cesi kereta ni bagi menjadikannya kereta pacuan roda belakang.

Beliau bermula dengan memotong bahagian tengah lantai kereta dan jugak lantai bonet belakang bagi memberi ruang untuk laluan prop shaft dan juga untuk gandar belakang. Lie membina sendiri transmission tunnel menggunakan kepingan besi dan jugak lantai bonet belakang menggunakan bahan yang sama.

Cagak-cagak untuk prop shaft dan gandar belakang jugak terpaksa dibina secara custom kerana buat masa ni memang tak ada orang yang jual kit macam ni untuk cesi Saga. Kotak gear pilihan bagi menggantikan kotak gear automatik asal enjin ni ialah transmisi manual Toyota 1JZ-GTE yang dicantum ke  enjin Nissan ni menggunakan plet adaptor buatan custom.

v11

Gandar belakang yang dimuatkan pada Saga ni juga datangnya dari Toyota 1JZ-GTE yang diubahsuai dengan aci picu custom. Ya. bayangkan anda kena keluarkan sistem torsion beam asal dengan tiada ruang langsung untuk pasang gandar pacuan yang baru. Kalau suruh Abang Japar menangis dia agaknya.

Dengan enjin yang lebih berat di depan dan sistem pacuan yang bertukar arah, Lie mesti memastikan sistem gantungan untuk Saga ni mampu diadaptasikan untuk perubahan-perubahan ni.

Penyerap hentak depan kini menggunakan penyerap hentak dari Nissan Laurel yang diletak pada plet custom yang bertindak mengukuhkan bahagian strut depan. Sistem gantungan di belakang pula mendapat pengubahsuaian yang lebih radikal.

v8

Ingat tadi pengubahsuaian pacuan belakang yang menggunakan gandar 1JZ? Sebenarnya, bukan semata-mata gandar yang digunakan, tetapi keseluruhan sistem gantungan dari Toyota Mark II disalin masuk ke cesi Saga ni. Ini bukan gila dah ni, ini ketua segala kegilaan yang pernah manusia fikirkan.

Sistem brek juga mestilah dinaik-taraf disebabkan peningkatan kuasa yang ketara. Bahagian hadapan disalin masuk brek Nissan Laurel jenis twin pot manakala di belakang, brek dari Toyota Mark II. Kereta ini kemudiannya dipadankan dengan rim aloi 15 inci dari Volk Racing TE37 kat bahagian depan dan untuk belakang, sepasang rim BBS bersaiz 16 inci digunakan.

Dari segi kosmetik, Saga ini nampak agak standard kalau dilihat sekali imbas, tapi dua kali imbas anda akan perasan manifold dan karburator enjin terkeluar daripada bahagian bonet depan. Ya. Lie terpaksa memotong bahagian bonet depan untuk manifold dan karburator enjin ni.

v10

Di bahagian dalam, Saga ni dihiasi dengan tempat duduk depan daripada Mazda RX7 FD3S dan stereng sports dari Nardi. Mungkin kereta ni memerlukan karpet baru bagi menyiapkan bahagian dalaman dia, tapi dengan semangat “rat rod”, besar kemungkinan kereta ini tak akan mendapat karpet baru itu.

Lie membuktikan ubahsuai radikal macam ni boleh dilakukan di rumah kalau anda mempunyai kemahiran dan masa yang banyak. Siapa sangka, Proton Saga klasik ni mampu bergerak dengan enjin V8?

 

 

 

Google ads
Back to top button