Motosikal

PROTOTAIP KTM RC 490 DIKESAN JALANI UJIAN, KONGSI PLATFORM CFMOTO 450 SR

KTM didapati sedang giat menguji prototaip baharu yang bakal diperkenalkan untuk pasaran global dan gambar spyshot terbaru mengesahkan ketibaan KTM RC 490 tidak lama lagi.

Projek 490 ini telah pun berlegar sejak tahun 2019 dengan KTM menyuarakan niat untuk berkerjasama dengan pengeluar India, Bajaj bagi menghasilkan lima model 490 termasuk 490 Adventure, 490 SMC R, 490 SMT, 450 Duke dan RC 490.

Husqvarna – syarikat dibawah payung KTM AG – turut mendedahkan beberapa model akan datang sewaktu pembentangan pelabur pada tahun sama yang membariskan model 501, termasuk 501 Supermoto, 501 Norden, 501 Svartpilen dan 501 Vitpilen.

Idea awal pada ketika itu adalah membangunkan model sub-500cc dengan bantuan Bajaj ekoran pengeluar India itu bertanggungjawab menghasilkan model 125 sehingga 390.

Model 490 itu pada awalnya dijadualkan untuk pelancaran pada tahun 2022 namun ditangguhkan selepas mengenal pasti kos pembangunan menelan belanja besar.

Bagaimanapun, projek 490 dilihat kembali selepas prototaip yang dikenal pasti sebagai KTM RC 490 dilihat giat menjalani ujian jalan raya di Eropah.

*Prototaip KTM 490 Duke

Soalnya, bagaimana KTM yang baru saja bangkit dari kemelut kewangan mampu membangunkan prototaip serba baharu? Perkara itu dicapai dengan meminjam sebahagian besar komponen dari CFMOTO yang menjalinkan kerjasama erat dengan KTM.

Untuk rekod, CFMOTO bertanggungjawab menghasilkan model 790 termasuk 790 Duke dan 790 Adventure malah CFMOTO turut mengguna pakai enjin LC8c 799cc itu pada 800MT dan 800NK.

*CFMOTO 450 SR

Dalam pada itu, memandangkan CFMOTO memiliki platform 450cc parallel-twin dengan 270-degree crank yang mengerakkan model 450SR, 450NK serta 450MT maka penghasilan KTM RC 490 menjadi lebih cepat.

Walaupun imej spyshot itu jelas memaparkan sebuah jentera KTM terutamanya reka bentuk yang diinspirasikan dari RC 990 namun ada beberapa elemen dari CFMOTO 450 SR dikekalkan antaranya swingarm jenis ‘single-sided’. Bukan itu sahaja, bahagian footpeg, gear kaki dan tongkat juga jelas dipinjam terus dari 450 SR.

Atas kertas, enjin parallel-twin 450cc yang terdapat pada CFMOTO 450SR menjana 50hp dan 39Nm. Konfigurasi 270-degree crank juga mewujudkan karakter enjin yang mirip platform V-Twin.

Google ads
Back to top button