RASMI: DUCATI KEMBALI KE JOHOR SELEPAS 10 TAHUN
Jenama Ducati kembali ke negeri Johor selepas 10 tahun menyepi sekaligus kembali merapatkan jurang dengan peminat jenama itu di Selatan tanah air.
Perasmian Ducati Johor Bahru bertempat di pusat pameran berkeluasan 2,418 kaki persegi itu menyajikan barisan motosikal Ducati yang pelbagai termasuk model serba baharu yang dilancarkan, Hypermotard 698 Mono.
Pembukaan Ducati Johor Bahru secara langsung terus membuktikan komitmen Ducati Malaysia dalam mendekati para Ducatisti seluruh negara termasuk dari negara jiran, Singapura. Bertempat di Masai, Johor, lokasi strategik itu membolehkan Ducati Johor Bahru mengumpulkan peminat dua negara dengan lebih baik.
Turut hadir merasmikan pembukaan pusat pengedar baharu itu termasuk Naib Presiden Penjualan dan Pemasaran Ducati Asia Pasifik, Marco Biondi dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Ducati Malaysia, Dennis Michael.
Menurut Ducati Malaysia, pusat pameran terbaru itu mensasarkan penjualan 30 unit menjelang akhir 2024 dan 100 unit bagi tahun 2025. Angka tersebut dilihat mampu dicapai selepas mengambil kira terdapat lebih 200 motosikal Ducati di negeri itu ketika ini.