" "
Motosikal

RASMI: DUCATI PANIGALE V4 2025 KINI DI MALAYSIA – 216HP, DARI RM182,900

Ducati Malaysia dengan rasminya melancarkan Ducati Panigale V4 generasi terbaru untuk pasaran tempatan dengan harga jualan rasmi RM182,900.

Sekali imbas, jelas Panigale V4 generasi terbaru ini menawarkan bukan hanya kelengkapan berbeza malah aspek visua juga berlainan dengan generasi sedia ada. 

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, kami senaraikan ciri baharu yang ada pada generasi terbaru Ducati Panigale V4.

  1. Gaya dan panel badan

Ducati Panigale V4 2025 hadir dengan reka bentuk berbeza dengan Panigale V4 2024. Menurut Ducati, model terbaru ini diinspirasikan dari Ducati 916. 

Inspirasi tersebut jelas kelihatan terutamanya pada bahagian lampu utama yang tampi dengan profil lebih ‘slim’. Apa yang mencuri perhatian kami, bahagian cermin sisi kini dipasang ke bahagian dalam ‘fairing’ berbanding di luar. 

Winglet juga lebih bersatu dengan panel badan dan tidak kelihatan terasing seperti sebelum ini. Bahagian ‘air intake’ juga lebih tersorok. 

Panel badan juga serba baharu dengan Ducati mendakwa menawarkan aerodinamik 4 peratus lebih baik dari sebelum ini. 

Menariknya, jurang antara tayar depan dan fairing juga lebih luas bagi membolehkan keupayaan menukar arah sewaktu menunggang dengan lebih efisien. 

Sementara itu, tempat duduk juga menawarkan ruang yang lebih baik bagi memudahkan penunggang menggerakan badan ketika beraksi di litar. Jelas Ducati, tempat duduk baharu ini juga mengurangkan risiko cepat letih.

Tempat letak kaki juga kini 10mm lebih kedalam sekaligus memperbaiki jarak kelegaan tanah ketika di selekoh. Tidak cukup dengan itu, bahagian ekor juga lebih panjang dan lebar untuk keselesaan. 

  1. Tiada lagi ‘single-sided swingarm’

Ciri ikonik pada model Panigale, ‘single-sided swingarm’ tidak lagi diguna pakai pada generasi terbaru ini bagi memberi ruang pada ‘swingarm’ konvensional. 

Meskipun begitu, Ducati memaklumkan swingarm baharu ini lebih ringan dan lebih kukuh. Selain itu, komponen baharu ini direka khas bagi menawarkan cengkaman lebih baik ketika di selekoh. 

Swingarm konvensional juga menyumbang kepada peningkatan kelajuan sewaktu di selekoh berbanding sebelum ini. 

  1. Pakej brek baharu

Kami sebelum ini pernah melaporkan bahawa pengeluar brek premium, Brembo telah memperkenalkan kaliper brek Brembo Hypure yang menawarkan daya membrek lebih baik berbanding Stylema. 

Menariknya, Panigale V4 generasi terbaru ini merupakan motosikal pertama yang hadir dengan produk baharu dari Brembo. Brembo mendakwa, Hypure lebih ringan dan cekap. 

  1. Skrin TFT serba baharu

Ducati turut menaik taraf panel meter TFT dari 5-inci kepada 6.9-inci yang jelas lebih besar. 

Panel meter baharu ini difahamkan diilhamkan dari paparan yang terdapat pada jentera Desmosedici GP. 

  1. Enjin lebih berkuasa

Panigale V4 generasi terbaru ini masih lagi dipacu enjin Desmosedici Stradale 1,103cc 90-darjah V4 dengan injap Desmodromic namun telah dinaik taraf bagi menjana 216hp (229hp dengan ekzos Akrapovic) pada 13,500rpm dan 120.9Nm pada 11,250rpm. 

Menurut Ducati, enjin V4 tersebut diilhamkan dari jentera Ducati MotoGP dan berkongsi beberapa ciri teknikal sekaligus menghasilkan bunyi mirip Desmosedici GP. 

Dari sudut teknikal, enjin Desmosedici Stradale ini menawarkan profil cam yang berbeza sementara alternator dan oil pump adalah yang sama terdapat pada Panigale V4 R. 

Berdasarkan ciri baharu yang disenaraikan ini jelas generasi terbaru Panigale V4 tidak lagi mengikut acuan sama seperti sebelum ini terutamanya ketiadaan ‘single-sided swingarm’. 

GALERI: DUCATI PANIGALE V4 2025

Google ads
Back to top button