
RENAULT CLIO RS 200 EDC
Pengedar kenderaan Renault di Malaysia, TC Euro Cars Sdn. Bhd. (TC Euro) memperkenalkan model baharu keduanya untuk tahun ini di litar go-kart, Sepang petang semalam.
Selepas SUV Koleos facelift, pengenalan Renault Clio RS 200 EDC pasti menjadi berita gembira buat para peminat jentera berprestasi tinggi. Mula diperkenalkan kepada umum pada Paris Motor Show 2012, model tersebut terus mendapat sambutan hangat di hampir semua pasaran yang disertainya.
Clio RS 200 EDC diberi pelbagai perubahan berbanding model Clio RS sebelumnya. Aspek yang paling ketara pastinya rangkaian kuasanya. Clio RS generasi keempat kini menggunakan khidmat enjin bersesaran lebih kecil (1.6 liter) dengan pengecas turbo. Ia mampu menjana kuasa sehingga 200hp dengan tork puncak 240Nm @ 1,750-5,600rpm.
Enjin yang dibangunkan oleh pihak Renault Sport Techologies itu kemudian dipadankan bersama kotak gear klac berkembar yang dikenali sebagai EDC (Efficient Dual Clutch). Suatu yang baru untuk sebuah Clio RS.
Biarpun tanpa kotak gear manual enam kelajuan, prestasi Clio RS 200 EDC tetap mengagumkan. Dalam ujian catatan masa yang dilakukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hot hatch itu berjaya mencatat masa hanya lambat 5 saat berbanding model Renault Megane RS 250!
Dengan kelajuan maksimum 230 kilometer sejam (km/j), hot hatch ini mampu memecut dari titik pegun ke 100km/j dalam masa cuma 6.7 saat.
Penampilan luaran Clio RS 200 EDC nyata menawan dengan rekaan yang penuh emosi. Garis tubuhnya ringkas, lengkap bersama beberapa perincian yang mengaitkannya dengan prestasi dan jentera F1.
Ini termasuklah bampar hadapan dengan sil berwarna krom, ekzos berkembar dan rim berdiameter lebar. Sekali pandang, anda mungkin tidak perasan ada hendal pintu belakang yang disemat kemas.
Ruang kabin cukup sporty. Selain calitan warna merah pada stereng, panel pintu dan tuil gear, tumpuan utama pastinya kepada konsol tengah yang menempatkan unit multimedia. Harus diingat bahawa ini bukan unit multimedia sembarangan.
Selain berfungsi sebagai navigasi, penstriman audio atau ketersambungan Bluetooth, skrin sentuh bersaiz tujuh inci juga merupakan paparan R Link untuk RS Monitor 2.0.
Versi terbaharu RS Monitor itu dikatakan lebih maju dari segi teknikalnya. Malah, ia dikatakan sebagai sistem telemetri dalam kereta yang paling komprehensif pernah ada pada sebuah kereta di jalan raya biasa.
Maksudnya, paparan ini bertanggungjawab memaparkan pelbagai dial, histogram serta grafik untuk memberi maklumat seperti tork, kuasa, tekanan air, tekanan turbo dan banyak lagi pada masa sebenar kepada pemandu.
Diimport sepenuhnya dari kilang Renault di Dieppe, Normandy, Perancis, Clio RS 200 EDC ditawarkan pada harga RM172,888 seunit.
Jadi, jika anda sedang mencari sebuah sebuah kereta selesa dan praktikal untuk pergi ke pejabat setiap hari. Sementara pada hari minggu pula, ia boleh bertukar menjadi jentera lumba di litar, inilah keretanya. Bukan semua kereta mampu berbuat demikian!












