Buletin

RENAULT SAMBUT ULANGTAHUN KE 40 DALAM F1 DENGAN OBJEK ISTIMEWA – TEKO TEH KUNING!

2017 merupakan ulangtahun ke 40 Renault dalam perlumbaan F1. Pengeluar kereta dari Perancis itu menganjurkan pelbagai program sambutan dan ini yang paling istimewa. Mereka mengeluarkan Teko Teh Kuning sebagai memorabilia.

Mungkin kelihatan pelik dan tidak dibuat orang namun ada sejarah disebaliknya. Keputusan Renault untuk menyertai Formula 1 telah dibuat pada tahun 1975 dan ia hanya terlaksana pada tahun 1977 dengan model pertama RS01.

Pada masa itu, penyertaan dalam Formula 1 adalah untuk memperkenalkan kemajuan enjin. Selepas membuat kajian dan fikiran mendalam, Renault memperkenalkan enjin kompresi turbo yang belum pernah digunakan lagi dalam perlumbaan berprestij itu. Pengenalan itu menunjukkan keberanian Renault dan cita-cita mereka.

Penampilan sulung Renault dibuat pada perlumbaan Silverstone Grand Prix tahun 1977. Beberapa tahun selepas itu barulah enjin berkuasa turbo digunakan oleh pasukan lain dan kini, ia digunakan semula dalam perlumbaan Formula 1.

Memandangkan teknologi turbo masih lagi baharu dan dipelopori oleh Renault bermakna langit tidak selalunya cerah. RS01 yang menggunakan warna kuning, hitam dan putih dilihat kerap mengeluarkan asap putih yang kebiasaannya sinonim dengan enjin bermasalah.

Ken Tyrell apabila melihat jentera RS01 melepasi garajnya kemudian berjenaka dengan memanggil kereta itu sebagai “Yellow Teapot”. Gelaran tersebut kemudian disahut oleh ahli pasukan beliau dan seterusnya merebak ke pasukan lain dalam perlumbaan Grand Prix berikutnya.

Bermula dari peristiwa itulah RS01 digelar sebagai The Yellow Teapot.

Biarpun menjadi bahan jenaka, kemenangan akhirnya dimiliki oleh Renault pada GP de France di Dijon pada 1979 dengan kereta RS01. Lebih manis, kemenangan itu diraih oleh Jean-Pierre Jabouille yang merupakan jurutera dan pemandu RS01.

Kejayaan itu dan disusuli oleh kemenangan lain telah membuktikan keupayaan enjin turbo dalam Formula 1 seterusnya mendapat penghormatan dari pasukan British dan ia diketuai oleh pasukan Tyrell.

Jadi, teko teh kuning itu bukan sebarang teko.

Dari segi rekabentuk, The Yellow Teapot diinspirasikan oleh jentera RS01 dan RS17 yang digunakan sekarang ini. Malah ia turut menggunakan cat rasmi yang sama pada kereta lumba. Ia juga menggunakan kod estetik sama seperti Renault Formula 1 dan turut menggunakan rekabentuk, grafik dan warna.

BACA: CARLOS GHOSN: LELAKI AJAIB DI SEBALIK PAKATAN RENAULT-NISSAN

Teko ini bakal digunakan di Restoran Atelier Renault di Champs-Elysées bermula September depan. The Yellow Teapot hanya dikeluarkan dalam edisi terhad iaitu sebanyak 40 unit sahaja pada harga kira-kira GBP 114 / RM 632.00.

Daripada bahan jenaka, berikut ialah kejayaan Renault sepanjang 40 tahun dalam Formula 1:

  • 11 Kejuaraan Pemandu
  • 12 Kejuaraan Pengeluar
  • 170 kemenangan dari 24 pelumba
  • 481 podium

BACA: PENCABAR TYPE R DARI EROPAH – RENAULT MEGANE RS KINI DENGAN MANUAL DAN KLAC BERKEMBAR

Google ads
Back to top button